Bernama - 17/11/09
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia yang kini mula menunjukkan petanda pemulihan daripada kelembapan global kembali kepada kadar pertumbuhan purata berpotensinya pada enam peratus menjelang 2012, hasil daripada pembaharuan struktur berani yang dilaksanakan oleh kerajaan.
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia yang kini mula menunjukkan petanda pemulihan daripada kelembapan global kembali kepada kadar pertumbuhan purata berpotensinya pada enam peratus menjelang 2012, hasil daripada pembaharuan struktur berani yang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Kami menjangkakan momentum pembaharuan di Malaysia meningkat dan ini akan menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang lebih besar dan dinamik baharu dalam ekonomi yang disokong oleh peningkatan ekonomi global," kata pakar ekonomi kanan Jabatan Asia Pasifik Bank Dunia, Philip Schellekens.
"Juga terdapat peranan lebih besar bagi sektor swasta untuk meningkatkan asas ekonomi pendasar bagi pertumbuhan Malaysia," katanya yang merujuk kepada inisiatif liberalisasi dalam bahagian seperti pasaran modal serta perbankan dan kewangan yang mula membuahkan hasil.
Bank Dunia menjangka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia berkembang kira-kira 4.1 peratus tahun depan, yang lebih tinggi berbanding penguncupan 2.3 peratus tahun ini, katanya kepada pemberita selepas seminar mengenai "Malaysia: Perkembangan Terkini Produktiviti dan Pelaburan" yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan Bank Dunia di sini, Selasa.
Bagaimanapun, kesan positif penuh ke atas ekonomi bergantung kepada bagaimana kerajaan melaksanakan dengan efektif pembaharuan struktur itu, katanya.
Beliau berkata Malaysia semakin pulih daripada krisis ekonomi yang menjejaskan terutamanya sektor pembuatan.
Keseluruhannya, ekonomi domestik berjaya bertahan meskipun kadar pengangguran meningkat sedikit.
"Dari setiap segi, walaupun ini merupakan satu daripada kejatuhan eksport paling buruk dalam sejarah Malaysia, ekonomi masih kekal berdaya tahan dari segi asas, tidak seperti semasa krisis kewangan Asia pada 1997/98," katanya.
Malaysia berkedudukan baik untuk menyertai pemulihan ekonomi global berikutan sokongan permintaan yang meningkat di China dan seluruh rantau ini serta keadaan yang bertambah baik di negara-negara maju, kata Schellekens.
Mengenai sasaran kerajaan untuk mencapai purata KDNK tahunan 5.4 peratus sehingga 2020, beliau berkata: "Saya rasa ia realistik dengan syarat kerajaan boleh menggerakkan pelbagai inisiatif yang diumumkan untuk mencergaskan semula ekonomi."
"Kadar pertumbuhan mungkin lebih tinggi sekiranya peranan sektor boleh digiatkan semula," katanya yang menyebut bahawa bahagian pelaburan swasta kepada KDNK sebelum krisis 1997/98 pada kira-kira 30 peratus turun kepada 10-12 peratus.
Beliau berkata dua ramuan penting bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ialah tenaga kerja berkemahiran tinggi dan keupayaan syarikat tempatan untuk menguasai inovasi teknologi.
/...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan