Utusan (Rencana) - 14/12/09

*****
Perkembangan dalam negara di akhir-akhir ini benar-benar memerlukan makna perpaduan (unity) yang sebenarnya dapat diamalkan bukan hanya tinggal sebagai retorik, impian indah dalam tulisan atau talk show di televisyen.
Apabila perpaduan semakin menipis dan terhakis dalam negara maka akan nampaklah defisit moral (moral deficit) dan defisit empati (empathy deficit) di dalam masyarakat.
Hanya melalui kekuatan 'roh perpaduan' dapat kita lahirkan semangat patriotisme dan jiwa besar rakyat merdeka, sedang teras patriotisme pula adalah rasa keprihatinan (caring) mendalam di antara sesama warga.
Kita mestilah menyedari bahawa landasan demokrasi adalah berasaskan konsep empati (empathy), keprihatinan mendalam (caring) terhadap sesama kita dan bertindak secara bertanggungjawab (responsible).
Berdasarkan pemahaman dan kesedaran bahawa betapa perlunya kita memelihara kestabilan negara dan kemajuan generasi masa depan, maka sangat penting bagi kita menyediakan teladan yang cemerlang untuk dicontohi oleh anak cucu kita.
Prinsip kebebasan (freedom), keseimbangan (fairness) dan keadilan (justice) mestilah dapat memberi nilai murni sejagat pada kehidupan kita.
Saya amat tertarik dengan konsep empati yang nantinya mampu pula kita rasai dan fahami keadaan seseorang dari sudut kaca mata orang tersebut (the ability to stand in somebody's shoes - to look at the world through their eyes).
Justeru rasa empati sangat penting untuk disuburkan terutama di kalangan anak-anak kita. Kegagalan kita untuk mendidik rasa empati pada mereka akan melahirkan generasi yang tidak prihatin dan peduli pada orang lain kecuali diri sendiri. Ini akan melahirkan pula kerajaan atau penguasa masa depan yang tidak peduli rakyat jelata.
Atas kesedaran ini juga kerajaan pimpinan saya bertanggungjawab untuk memikul tanggungjawab amanah (moral mission) untuk:-
i. Melindungi rakyat jelata (protection).
ii. Memberi peranan dan tanggungjawab (empowerment) pada rakyat jelata.
iii. Meluhurkan etika kecemerlangan di kalangan rakyat.
Pemberdayaan kerajaan (government empowerment) dalam bentuk kemudahan infrastruktur, pembangunan fizikal seperti jalan raya, jambatan dan lain-lain serta pembangunan mental dan rohani seperti pendidikan di sekolah dan di masjid serta institusi pendidikan lain adalah penting untuk kesejahteraan rakyat. Ini harus diberi keutamaan.
Melindungi rakyat daripada jenayah, kemiskinan, kejahilan dan dari segala penyakit sosial juga adalah misi moral kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Rasa peduli atau prihatin amat penting untuk melahirkan rasa kasih sayang sesama sendiri.
Oleh itu menyuburkan semangat kesukarelaan (volunteerism) dalam setiap profesion dan di kalangan kita akan menimbulkan rasa kebersamaan (esprit de corps) yang kukuh dalam perpaduan bangsa yang kita kehendaki.
Antara isu yang mesti kita tekankan:
i. Kita perlu pada amalan sukarela (volunteer) bagi mengukur patriotisme rakyat.
ii. Kita perlu pada amalan sukarela untuk membentuk kehidupan rakyat.
iii. Kita perlu ada amalan sukarela sebagai komitmen kita kepada negara, bangsa dan agama.
Kita juga akui bahawa memang terdapat hambatan dan had kepada kerajaan bagi memberdayakan dan melindungi rakyat, namun kita yakin bahawa semangat kesukarelawan inilah yang nantinya akan menyempurnakan peranan kerajaan demi manfaat kepada rakyat.
Kesukarelawan sebenarnya adalah suatu semboyan atau bentuk panggilan demi berkhidmat untuk negara. Tidak syak lagi ini dapat dilakukan di bidang pendidikan dan pembelajaran, perlindungan kesihatan, membendung penyakit yang menjalar, jenayah, fenomena keruntuhan moral dan lain-lain.
Saya berpendapat sudah sampai masanya kita suburkan semangat kesukarelawan dan kita buka peluang seluasnya untuk rakyat turut ikut serta dalam mengamalkan usaha-usaha baik ini.
Saya yakin dengan misi tersebut yakni tanggungjawab moral kerajaan dan digabung pula dengan semangat kesukarelawan rakyat maka kita akan dapat mencipta nilai bangsa yang gilang-gemilang dan membangun tamadun kemanusiaan yang disegani.
Sering juga diperkatakan orang bahawa kesejahteraan hidup akan bertambah baik jika pendidikan, kesihatan, lingkungan serta pendapatan rakyat semakin baik.
Jika ini berlaku, bermakna amanah (trust) telah terlaksana, tanggungjawab sosial (social responsibility) telah berjaya merentasi tanggungjawab individu (individual responsibility).
Inilah semangat dan arah yang ingin saya jadikan pedoman untuk perpaduan negara melalui nilai-nilai yang murni. Inilah gagasan 1Malaysia yang cuba kita jadikan satu kenyataan bahawa hanya dengan perpaduanlah maka kita mampu cipta keamanan dan kestabilan.
Namun saya sedar kita terpaksa berhadapan dengan kegawatan pemikiran yang bersimpang-siur kerana terlalu banyak pembohongan, kepalsuan, fitnah, pengkhianatan, keruntuhan adap sopan dek lantaran salah guna kebebasan, mengkhianati tanggungjawab dan salah guna hak sehingga mengorbankan nilai luhur kemanusiaan dan kewarganegaraan yang baik.
Akibatnya keharmonian sosial tergugat, kestabilan negara terancam, kesejahteraan hidup menurun.
Malah kesan daripadanya timbul pula berbagai kegelisahan yang meruncing yang sebenarnya tidak patut berlaku.
Atas pemahaman inilah timbul pernyataan seperti "In the cultural war the battle field is in the brain."
Di era ini adalah penting untuk kita memiliki kemahiran berfikir, bertutur dan bertindak (think, talk and act). Amalan demokrasi yang 'juling' pada hari ini kian menjadi bahaya jika berakar pada sikap kegelojohan merebut wang, kuasa dan tempat dalam struktur sosial malah fakta sejarah sanggup diselewengkan.
Semua kegelojohan dan kegawatan ini adalah bersumber dalam otak dan pemikiran manusia-manusia atau kelompok manusia yang rakus dan tidak bertanggungjawab.
Sebenarnya kita tidak hanya menghadapi dilema dalam jurang kebendaan atau sentimen suku kaum atau agama atau siapa yang menguasai kuasa, tetapi paling teruk kita tenggelam dalam jurang pemikiran (Brain Divide).
Dari pandangan sains kognitif, tingkah laku kita ditentukan oleh pemikiran bawah sedar (subconscious). Kita terlalu dipengaruhi oleh saduran kepalsuan maklumat yang tersimpan dalam pemikiran bawah sedar (deep narrative frames) yang dibuat secara berulang kali, merasuk kita sehingga terjadi banyak sekali kepalsuan yang telah dianggap sebagai kebenaran!
Sebagai alasan rapuh kita sendiri katakan bahawa amat sukar untuk mengurus persepsi orang lain walhal kitalah yang membentuk persepsi buruk dan dihidang pula kepada masyarakat.
Sebab itulah peranan kewartawanan sangat penting dalam membimbing pemikiran khalayak ramai (massa).
Apabila media disalahgunakan untuk menyebar maklumat yang merosakkan (wrong narrative) nilai-nilai murni yang saya sebutkan di atas, maka akan berlakulah gejala-gejala yang tidak diingini.
Sebenarnya, setiap daripada wartawan dan pengendali media termasuk media baru mestilah memiliki tanggungjawab, empati dan cakna dalam setiap sajian berita, isu dan idea.
Apa yang sebenarnya disaji dan utarakan adalah saduran pemikiran yang akan mempengaruhi khalayak yang akan meninggalkan impak terhadap kesejahteraan kehidupan bernegara.
Kerosakan yang akan terjadi lebih sukar untuk dibaiki daripada membangun sesuatu yang baik.
Dunia telah menyaksikan berulang kali betapa peperangan mengakibatkan korban. Tetapi korban yang diakibatkan oleh hasutan media jauh lebih besar daripada peperangan!
Sebagai penutup, saya ingin mengajak semua yang terlibat dengan media, marilah kita sama-sama membangun negara yang bertuah, berdaulat dan dicintai ini untuk menyumbang ke arah 1Malaysia bersatu, maju dan sejahtera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan