9 Mei 2010

Analisis: Di sebalik pendedahan Kickdefella, penafian pemimpin Pas

BM - 2010/05/09 (Rencana)
Oleh Ahmad Naim Tahir

ahmadnaim@bharian.com.my
JIKA ada carta berita tempatan paling panas dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, pasti pendedahan seorang penulis blog mengenai operasi gerak saraf menelan belanja RM4 juta untuk memburukkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berada di antara tangga teratas.
Isu berkenaan menarik perhatian kerana ia dikaitkan dengan fitnah, manakala pihak didakwa menjadi ‘pembiaya’ operasi itu pula adalah Pas atau pemimpin parti itu yang melaung-laungkan bahawa perjuangannya berlandaskan agama dan sudah tentu menabur fitnah bukan satu daripada agenda mereka.
Tidak perlu diperjelaskan secara panjang lebar perjalanan isu terbabit, bermula daripada pendedahan Syed Azidi Syed Abdul Aziz sehingga ia kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana saban hari ada saja laporan dalam media arus perdana atau blog mengenainya.
Ketika mula didedahkan, ia menjadi berita gembira buat mereka yang pro Umno atau Barisan Nasional (BN) kerana isu seperti itu pasti menjadi tumpuan rakyat dan sedikit sebanyak boleh menyebabkan kredibiliti Pas atau pemimpinnya terjejas di mata masyarakat.
Lantas tanpa berlengah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menafikan pembabitan parti berkenaan dalam agenda menjatuhkan Pak Lah melalui serangan peribadi berbentuk fitnah yang digerakkan penulis blog terbabit.
Reaksi Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat lebih keras apabila menyifatkan tuduhan itu tidak patut dilayan, manakala Syed Azidi atau Kickdefella pula dianggapnya sebagai mabuk dan mengarut. Setiausaha Pas Kelantan, Zaki Ibrahim pula dilapor menyamakan Kickdefella sebagai budak-budak dan penulis blog kampung yang hanya mahu mendapatkan publisiti murahan. Begitu juga reaksi beberapa pemimpin Pas yang lain, semuanya senada.
Turut bersuara Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang disebut-sebut antara pembiaya operasi berkenaan kerana hubungannya dengan Syed Azidi, tetapi beliau juga menegaskan apa diperkatakan penulis blog terbabit berhubung isu RM4 juta berkenaan sebagai fitnah.
Beliau sekadar mengakui membayar lebih RM40,000 kepada Global Media Channel (GMC), firma yang dilapor menjalankan operasi gerak saraf itu, tetapi dakwanya wang berkenaan adalah hasil sumbangan penyokong Pas dan tidak membabitkan peruntukan parti atau kerajaan negeri.
Kumpulan pro Pas dan mereka yang bersimpati dengan parti itu menuduh Syed Azidi sengaja ‘mencipta’ isu kerana kecewa apabila ditamatkan kontraknya sebagai Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Malah, bukan rahsia lagi ramai yang berada di sebelah Pas menganggap penulis blog itu sebagai ejen Umno, budak upahan dan orang suruhan Umno yang menyelinap masuk ke dalam Pas untuk menjatuhkan parti itu di Kelantan.
Persoalan yang mereka timbulkan ialah jika berdasarkan prinsip, mengapa baru sekarang pendedahan demi pendedahan yang menjejaskan imej Pas dan pemimpinnya dibuat oleh Syed Azidi. Mengapa tidak dari dulu lagi ketika beliau memperoleh dana berkenaan?
Memang diakui pendedahan penulis blog itu mengenai penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kerajaan Pas Kelantan mendorong ramai menilai semula sokongan mereka kepada parti terbabit dan mula sedar ke mana hala tuju perjuangan Pas.
Kini, isu berkenaan memasuki episod baru apabila SPRM membuka kertas siasatan, mengambil keterangan dan mengumpul bahan bukti daripada Syed Azidi, tetapi sama ada ia akan berlanjutan sehingga ke mahkamah belum dapat dipastikan. Selagi ia tidak di bawa ke mahkamah, tuduh-menuduh antara pihak yang berbalah dijangka berterusan, sekali gus menambah banyak lagi tanggapan dan andaian di kalangan rakyat, sama ada memihak kepada Syed Azidi atau pihak diserangnya. Harapan untuk melihat kebenaran terbongkar di dewan keadilan pasti lebih cerah jika diusahakan Pak Lah sendiri – memfailkan saman ke atas pihak yang melemparkan fitnah terhadapnya yang dianggap menjadi antara punca beliau mengundur diri sebagai Perdana Menteri.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: