Oleh Shamrahayu A Aziz
Harapan PM agar penyelesaian kekeluargaan mampu elak pandangan negatif terhadap institusi raja.
KEMELUT yang menyelubungi Istana Kelantan sememangnya membimbangkan, bukan saja kalangan rakyat negeri berkenaan, tetapi khalayak ramai. Ia bukan lagi soal pertikaian dalaman yang sepatutnya boleh diselesaikan kerabat berkenaan, tetapi sudah menular ke luar istana kerana berlarutan sejak sekian lama, selain kini membabitkan pula aspek undang-undang.
Kita sudah pasti mahu melihat kemelut ini diselesaikan secara baik kerana pada hakikatnya, apa juga yang berlaku kesannya bukan sekadar kepada istana dan negeri Kelantan, tetapi turut melangkaui sempadan negeri itu dan negara kerana membabitkan institusi diraja yang disegani.
Tidak hairanlah atas dasar keprihatinan dan mewakili rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin menyuarakan harapan agar kemelut Istana Kelantan dapat diselesaikan secara kekeluargaan antara keluarga diraja daripada perkara itu menjadi pertikaian secara terbuka, selain meletakkan kesihatan Sultan Kelantan sebagai pertimbangan utama.
Bagi penulis, ia adalah isu kekeluargaan dan bukanlah sangat persoalan undang-undang sebenarnya. Perlu diingat, selain daripada kerajaan negeri dipilih rakyat, institusi raja juga mempunyai tanggungjawab bukan saja dari segi amalan, tetapi juga sudut undang-undang iaitu untuk menjaga dan mentadbir negeri.
Oleh demikian, institusi diraja ini harus sentiasa diurus dengan sempurna dan apa juga kemelut yang berpanjangan itu sudah semestinya menjadi perhatian khalayak ramai.Dari sudut undang-undang, Perlembagaan Negeri Kelantan itu menjadi sumber utama rujukan. Namun, disebabkan masalah dihadapi Istana Kelantan ini adalah yang pertama seumpamanya, maka undang-undang itu perlu diperhati dengan teliti. Peruntukan yang relevan untuk perbincangan terutama peruntukan berkaitan kuasa-kuasa Majlis Perajaan Negeri (MPN) dan kuasa Pemangku Raja.
Pemangku Raja adalah pemerintah yang sah sehingga MPN dan kerajaan negeri memutuskan Sultan Kelantan sudah sembuh dan boleh menerajui negeri itu semula.
Namun perkembangan semasa seperti permohonan habeas corpus oleh Sultan Kelantan menjadikan pelbagai isu undang-undang lain, termasuk Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi.
Malah isu berkaitan perubatan seperti persetujuan pesakit juga mungkin relevan. Huraian berkaitan undang-undang berkenaan menjadi agak teknikal yang mungkin sukar difahami kebanyakan khalayak.
Tujuan penulis bukan untuk merendahkan pengetahuan dan pandangan masyarakat berhubung perkara atau isu ini, namun hakikatnya keadaan sudah menjadikan pelbagai jenis undang-undang perlu dirujuk.
Walau apa pun, sekadar sepintas lalu, perlu diketahui umum bahawa mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri Kelantan, kegeringan Sultan Kelantan yang berpanjangan akan menjadikan Pemangku Raja sebagai sultan. Atas peruntukan ini, pengesahan mengenai status kesihatan sultan amat penting.
Pada masa sama, liputan akhbar adalah perlu untuk disebarkan maklumat kepada rakyat, tetapi penyampaiannya bukanlah dalam bentuk sensasi. Pada saya, ini adalah tanggungjawab sosial pihak media. Pada masa sama, jangan pula ada pihak yang cuba menangguk di air keruh seperti kalangan ahli politik yang tidak perlu saling menuding jari.
Masyarakat pula seharusnya bersikap matang untuk melihat dan mengamati perkara ini berdasarkan undang-undang serta peraturan sedia ada, bukan emosi semata-mata. Apa pun undang-undang yang ada, khalayak sudah difahamkan menerusi laporan media mengenai keadaan atau sebab musabab yang melatari kemelut ini.
Agak jelas ada kalanya peruntukan atau tindakan undang-undang bukanlah penyelesaian terbaik kepada kemelut seumpama ini. Adalah perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat bahawa institusi raja adalah hak rakyat. Seorang raja adalah kepunyaan rakyat dan apa juga tindakan sama ada peribadi diambil oleh raja atau wakilnya menjadi perhatian rakyat.
Oleh demikian, tidak elok jika kemelut yang berlaku di Kelantan ini berpanjangan dan banyak mencipta sejarah dengan menggunakan mekanisme undang-undang.
Walaupun mekanisme mahkamah ini diiktiraf Perlembagaan, kebimbangan penulis ialah, ia akan menjadikan kemelut kian parah dan menggalakkan pandangan negatif terhadap institusi diraja bukan saja di Kelantan, tetapi juga di negeri-negeri lain. Sebahagian besar rakyat menyayangi institusi raja ini maka amat tidak adil kepada institusi raja ini dan rakyat keseluruhannya jika masalah di Kelantan terus berlarutan sebegini.
Penulis ialah pakar Perlembagaan dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
/hwa-bharian.com.my
/hwa-bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan