10 Jun 2010

DAP, PKR kifarah kepada Pas – Nik Aziz

UM - 10/06/2010

KOTA BHARU 9 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kehadiran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang seperti satu kifarah atau balasan Allah kepada perjuangan parti itu sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana setelah untuk sekian lama, alim ulama Pas termasuk tok-tok guru di pondok tidak melaksana dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Islam.

Katanya, ini menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar sesama Islam saja.

‘‘Melayu ajar Melayu saja, maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah.

‘‘Sekarang rakan kita (DAP dan PKR) adalah mad’u (sasaran),” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini malam ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan ketua ketiga-tiga sayap parti tersebut.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas perlu mengeratkan hubungan di antara DAP dan PKR supaya rakyat dapat memberikan mandat untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

“Justeru, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini.

“Dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat urus tadbir baik iaitu berintegriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab,” katanya.

/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: