10 Jun 2010

Peruncit rancang boikot pengkhianat negara

UM - 10/06/2010

KUALA LUMPUR 9 Jun - Seorang penyokong kerajaan hari ini menyifatkan rancangan peruncit memboikot jualan barangan kawalan seperti gula, minyak dan tepung gandum mulai Selasa depan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika membangkitkan perkara itu berkata, peruncit tersebut layak digelar pengkhianat kerana rancangan itu ternyata boleh menyusahkan rakyat dan negara.

Beliau yang amat kecewa dan kesal dengan sikap tersebut meminta kerajaan jangan sesekali tunduk dengan desakan itu sebaliknya meneruskan rancangan untuk melesenkan setiap barangan kawalan supaya rakyat tidak terus teraniaya.

''Saya amat hairan dengan sikap peruncit kerana peraturan ini langsung tidak membebankan mereka. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan datang ke premis mereka untuk proses melesenkan barangan kawalan.

''Apa susahnya. Bukannya mereka perlu ke pejabat KPDNKK. Lesen ini juga tidak perlu dibayar. Langkah kerajaan ini bertujuan melindungi hak pengguna selain mengelak berlakunya perbuatan menyorok barang. Bukankah apa yang mereka lakukan ini satu perbuatan khianat?'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Jualan Langsung (Pindaan) 2010 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan gesaan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) supaya kerajaan tidak tunduk desakan peruncit yang merancang memboikot barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum bermula Selasa depan.

Presiden PPPM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan golongan berkenaan sebaliknya kekal dengan keputusan yang telah dibuat.

Langkah memboikot barangan tersebut dicadangkan pihak berkenaan ekoran tindakan KPDNKK menarik balik pengecualian lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 19 tahun lalu bagi mengelak ia diselewengkan.

/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: