Bernama -2010/07/08
KUALA LUMPUR: Bukti yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membiayai perbelanjaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) di London sudah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.
Katanya, beliau sudah menyerahkan bahan bukti itu iaitu kandungan e-mel kepada Nazri dan beliau sendiri sedia disoal siasat oleh polis berhubung perkara itu.
Saya sudah bagi dokumen itu kepada Nazri. Bukti itu nanti akan didedahkan pada masa sesuai dan menteri pun saya percaya dia sedia disiasat polis dan saya pun bersedia jika polis nak jumpa (saya) dan bincang," katanya, di sini semalam.
Sabtu lalu, Nazri berkata kerajaan mempunyai bukti Raja Petra, yang melarikan diri ke luar negara, dibiayai oleh PKR di London.
Zahrain berkata, beliau berharap kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terperangkap dengan permainan politik PKR khususnya yang membabitkan isu Raja Petra dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Sehubungan itu, beliau memuji keputusan SPRM baru-baru ini untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Tahniah kepada SPRM kerana tidak pergi ke London jumpa Balasubramaniam. Kita pun tahu kalau pergi pun apa yang Balasubramaniam akan dedah sebenarnya adalah kata-kata atau skrip yang sudah dibuat oleh peguam.
Sebenarnya peguam ini ialah peguam PKR yang rapat dengan Anwar," katanya.
Zahrain juga menggesa Anwar dan Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya supaya meminta Balasubramaniam dan Raja Petra pulang ke Malaysia.
Kalau mereka ini adalah pemimpin negara bertanggungjawab, mereka harus meminta kedua-dua mereka pulang ke Malaysia dan berdepan dengan sesiapa saja," kata Zahrain.
/hwa: www.bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan