8 Julai 2010

Harakah diberi tujuh hari jawab surat tunjuk sebab

BH - 2010/07/08

Oleh Haika Khazi

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tempoh tujuh hari mulai kelmarin kepada akhbar rasmi PAS, Harakah, menjawab surat tunjuk sebab berhubung pelbagai isu berkaitan syarat penerbitan termasuk kegagalan menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran akhbar itu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata kegagalan akhbar berkenaan menjelaskan surat tunjuk sebab itu dengan memuaskan boleh menyebabkan permohonan permit penerbitannya yang tamat semalam menemui masalah.

Beliau berkata, surat tunjuk sebab itu diserahkan kepada Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya, yang diarah menghadiri sesi pertemuan dengan pegawai KDN di kementerian itu, Isnin lalu.

Mahmood berkata Harakah diberi tempoh tujuh hari mulai kelmarin, untuk menjawab surat tunjuk sebab termasuk mengenai isu kegagalan mereka menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran kepada KDN.

Pihak Harakah perlu menjawab surat tunjuk sebab itu secepat mungkin kerana permit penerbitannya sudah tamat hari ini (semalam).

Kita mungkin tidak menyambung permit penerbitan Harakah sekiranya mereka gagal memberikan jawapan yang memuaskan, katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar, sebelum ini melaporkan permit Suara Keadilan yang diterbitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum diperbaharui selepas tamat tempoh pada 30 Jun lalu.

Ia kerana KDN masih mengkaji penjelasan surat tunjuk sebab yang dihantar dan rekod lampau akhbar berkenaan yang mencetuskan kontroversi menerusi laporan bertajuk FELDA Bangkrap sebelum ini.

Mahmood juga menafikan KDN menyerbu kilang Angkatan Edaran di Shah Alam, kilang yang mencetak Harakah untuk mencari akhbar tanpa permit Era Keadilan milik PKR, pagi semalam seperti dilaporkan media.

Mahmood berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang maklumat berhubung operasi KDN menyerbu kilang terbabit.

Saya rasa itu cuma khabar angin yang sengaja ditimbulkan kerana setahu saya KDN tidak melakukan apa-apa serbuan hari ini (semalam), katanya.

Beliau ketika diminta mengulas laporan portal pembangkang semalam yang mendakwa pegawai KDN menyerbu kilang berkenaan untuk mencari akhbar Era Keadilan yang dipercayai diterbitkan tanpa permit di situ, pada jam 10.30 pagi, semalam.
/hwa: www.bharian.com.my

Tiada ulasan: