15 Julai 2010

DAP amal politik murahan - Ibrahim Ali

UM - 15/07/10

KUALA LUMPUR 14 Julai - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mengecam tindakan DAP yang cuba melaga-lagakan pemimpin negara berhubung isu Perkasa.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai gimik politik murahan DAP beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pertubuhan itu penghalang kepada gagasan 1Malaysia.

"Saya tengok bagaimana DAP mempermainkan isu ini dengan mempersoalkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang mahu menubuhkan Perkasa berdasarkan kaum.

"Manakala, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak menyokong Perkasa dan ia diperbesarkan oleh The Malaysian Insider," katanya pada sidang akhbar di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada sidang akhbarnya hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak konsisten ekoran pandangan yang berbeza antara Muhyiddin dan Nazri berhubung isu Perkasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pertubuhan itu tidak pernah menimbulkan kenyataan berunsur perkauman, melainkan memberi maklum balas kepada isu berbangkit yang didapati bercanggah dengan perlembagaan termasuk yang menyentuh kepentingan orang Melayu.

"Kita bukan penghalang, malah, kita pendokong paling kuat gagasan 1Malaysia yang berteraskan kerangka Perlembagaan.

"Jadi, polemik yang mendakwa Perkasa sebuah pertubuhan yang kononnya perkauman adalah tidak benar," katanya mengulas dakwaan beberapa pihak yang menyifatkan Perkasa sebagai parti berdasarkan kaum yang ekstremis dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: