15 Julai 2010

Nik Aziz sedia temui TPM

UM - 15/07/01

KOTA BHARU 14 Julai - Kerjasama UMNO-Pas menampakkan tanda positif apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesediaannya untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan melawat Kelantan esok.

Beliau bagaimanapun berkata, pertemuan tersebut hendaklah dilakukan secara empat mata tanpa membabitkan orang tengah untuk memastikan semua perkara utama dapat dibincangkan.

"Boleh. Bukan setakat dia jumpa saya, saya pun mahu berjumpa dengannya.

"Sebaiknya tidak perlu orang tengah. Jumpa peribadi boleh sangat pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Muhyiddin seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini bahawa UMNO bersedia melakukan pertemuan dengan Pas bagi mengukuhkan kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata, pertemuan tersebut amat baik kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kewujudan perpaduan yang lebih jitu antara orang Melayu malah turut menyumbang ke arah keamanan sejagat di negara ini.

Semalam, beberapa ulama turut bersetuju bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong masing-masing.

Antara individu yang menyokong penyatuan itu adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi.

Timbalan Perdana Menteri dijadual melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini, antara lain, melawat Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Bunga yang baru dibuka pada sebelah pagi sebelum merasmikan Karnival Rakyat Tanah Merah sebelah petang.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: