21 Julai 2010

KSSB alat tutup amalan kronisme

UM - 21/07/10

KUALA SELANGOR 20 Julai - Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar tidak menolak kemungkinan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) dijadikan sebagai alat untuk menutup amalan kronisme serta pilih kasih dalam industri perlombongan pasir di negeri ini.

Beliau berkata, ini disebabkan banyak perkara yang boleh dipertikaikan daripada operasi syarikat tersebut sama ada dari segi jumlah pendapatan sebenar aktiviti itu sehinggalah kepada pemberian tender perlombongan pasir.

Malah, Noh mendakwa, KSSB mungkin dijadikan proksi kepada parti tertentu dalam pakatan pembangkang apabila syarikat itu didapati memberikan keistimewaan dalam pembelian pasir kepada sebuah syarikat kontraktor.

''Jika Barisan Nasional (BN) membuat perkara ini (beri keistimewaan) kepada syarikat kontraktor, mereka (pakatan pembangkang) sudah tentu akan menuduh BN amalkan kronisme, pilih kasih dan sebagainya.

''Namun, apabila (kerajaan negeri) berbuat demikian, mereka memberikan alasan bahawa tindakan mereka itu merupakan sebahagian daripada proses perniagaan dan menafikan ia ada kaitan dengan amalan penyelewengan, kronisme dan pilih kasih,

''Kita tidak menolak kemungkinan KSSB dijadikan topeng untuk mengaburi mata rakyat bagi menutup amalan penyelewengan, kronisme dan pilih kasih dalam industri pasir di negeri ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan para nelayan dan petani di Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) di Kampung Sungai Yu, di sini hari ini.

Tambah Noh, sebelum ini beliau telah mendedahkan mengenai kewujudan sebuah syarikat kontraktor yang menerima keistimewaan apabila diberi diskaun sebanyak RM4 bagi setiap pembelian satu tan pasir.

Sedangkan, katanya, syarikat lain hanya ditawarkan diskaun sebanyak 50 sen untuk pembelian setiap tan bahan itu.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan negeri mengatakan mereka telus dan adil, kenapa hanya syarikat terbabit diberikan keistimewaan dan bukannya syarikat kontraktor lain.

''Atas dasar apa keistimewaan itu diberikan kepada syarikat kontraktor berkenaan. Apa kaitannya dengan KSSB dan kerajaan negeri," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: