UM - 21/07/10
KUALA LUMPUR 20 Julai – Kementerian Pelancongan mungkin tidak akan mempromosikan Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil sebagai produk pelancongan jika keadaan di kawasan tersebut terus terjejas ekoran aktiviti perlombongan pasir.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, kementerian hanya akan berusaha mempromosikan tempat-tempat yang kaya dengan sumber asli dan unik kerana ia mampu menarik minat pelancong luar dan dalam negara.
Menurutnya, negara mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik sehingga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada para pelancong.
“Oleh itu, jika ada kegiatan menjejaskan tapak itu atau projek pembangunan di situ menyebabkan burung tak mahu datang, binatang dah lari dan tak ada benda nak tengok, siapa nak datang?
“Kita hanya akan mempromosikan produk yang kita rasa sangat istimewa. Tetapi, jika daya tarikan tiada lagi, kita juga tidak akan promosikan lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Karnival Jualan Mega Malaysia 2010 di sini hari ini.
Isu perlombongan pasir itu menjadi perhatian apabila pada mulanya ia dikatakan dilakukan secara haram selain menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan, kegiatan melombong pasir berhampiran Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands itu dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).
Beliau turut memberitahu bahawa kegiatan itu mempunyai permit yang sah dan lokasi sebenarnya terletak di Kampung Olak Lempit.
Dalam pada itu, tambah Yen Yen, kerajaan Selangor tidak patut memburukkan keadaan kawasan itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan dan habitat hidupan liar serta alam sekitar.
“Kegiatan melombong pasir di beberapa tempat di Selangor juga mendapat perhatian serius apabila kegiatan itu semakin tidak terkawal baru-baru ini.
“Hampir 20 hektar tanah iaitu kira-kira 50 meter dari Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil diceroboh sehingga mengancam sistem ekologi taman berkenaan,” katanya.
/hwa: utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan