11 Julai 2010

MIC perlu segera berubah

MM - 11/07/10


NAJIB Tun Razak bersama S. Samy Vellu dan pemimpin tertinggi MIC mengangkat tangan selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-64 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MIC segera melakukan perubahan bagi mengelakkan parti yang telah bertapak lebih 60 tahun itu ditolak sepenuhnya oleh komuniti India dan akhirnya musnah dalam sistem politik negara.

Perdana Menteri berkata, gesaan itu perlu diberi perhatian serius kerana masalah dalaman MIC yang sehingga kini masih wujud boleh merosakkan masa depan parti itu, sekali gus memberi kesan kepada kekuatan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Beliau berkata, antara perubahan yang perlu dilakukan ialah memastikan MIC kembali menjadi parti pembela rakyat dan bukannya sebagai medan untuk melebarkan pengaruh atau kuasa politik bagi pihak-pihak tertentu.

Ujar Perdana Menteri, hasratnya itu semata-mata untuk melihat MIC muncul sebagai parti yang lebih moden dan progresif.

"Misalnya, MIC perlu tahu apakah isyarat yang hendak disampaikan oleh masyarakat India ketika ini. Cuba tanya diri tuan-tuan? Saya tidak akan bercakap bagi pihak mereka kerana saya percaya tuan-tuan lebih mengetahui mengenainya.

"Begitu juga dengan corak pemilihan pemimpin. Faktor kasta sepatutnya tidak boleh menjadi penentu dalam proses memilih pemimpin yang terbaik. Bagi saya, mereka daripada kasta rendah juga boleh menjadi pemimpin,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, asas paling penting dalam memilih pemimpin bukan semata-mata kerana kasta tetapi sebaliknya ia perlu bergantung kepada kredibiliti, kewibawaan dan kebolehan seseorang.

"Kita sepatutnya kena lihat siapa yang terbaik daripada komuniti kita yang boleh diangkat menjadi pemimpin. Tidak perlu lihat dia datang dari kasta mana? Paling penting pemimpin ini mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Ini tidak, kadang-kadang saya lihat hendak kalung bunga malai pun perlu lihat orangnya dahulu, sama ada berasal dari kasta tinggi atau sebaliknya,'' katanya lagi.

Beliau berkata, MIC harus mencontohi UMNO dalam soal memilih pemimpin.

"Di dalam UMNO, anak nelayan atau anak petani boleh menjadi menteri, boleh menjadi menteri besar. Kita tidak mengira dari mana pemimpin ini berasal kerana kita lebih mementingkan kebolehan dan kredibiliti.

"Atas sebab ini saya mahu MIC berubah. Malah UMNO sendiri terpaksa melakukan perubahan supaya kami terus dapat diterima oleh rakyat Malaysia,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan sama Najib turut meminta MIC serta parti komponen BN termasuk UMNO menjalani proses muhasabah.

Beliau dalam ucapannya turut menyelar tindakan segelintir pemimpin MIC menggunakan akhbar menghentam antara satu sama lain.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan bahawa MIC adalah sebuah parti yang masih teguh, kuat, relevan dan akan kekal sebagai satu-satunya suara masyarakat India di negara ini.

Bagaimanapun katanya, ahli-ahli parti itu perlu bertanggungjawab terhadap perpecahan dalam parti itu sehingga wujud beberapa kumpulan kecil yang mengaku sebagai pejuang masyarakat India.

Menurutnya, terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang mengaku berjuang untuk pendidikan, sementara ada pihak lain juga yang mengaku menjadi wakil dalam menyuarakan rintihan masyarakat India.

"Terdapat kumpulan-kumpulan yang kononnya ditubuhkan semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik. Mereka ini tidak akan bertahan lama kerana tidak dapat memberikan gambaran jelas perjuangan mereka terhadap masyarakat.

"Hanya MIC mampu menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi oleh kaum India dan satu-satunya parti yang boleh menjadi suara rakyat," katanya dalam ucapan dasar pada majlis perasmian perhimpunan tersebut.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: