11 Julai 2010

Jangan mudah terpedaya - TPM

MM - 11/07/10


MUHYIDDIN Yassin disambut para perwakilan UMNO Bahagian Jasin semasa menghadiri perasmian Mesyuarat UMNO bahagian itu di Dewan Alamanda, Jasin, Melaka, semalam. - Mingguan/Gaie Uchel


JASIN 10 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat negara ini tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tindakan pembangkang yang membuat pelbagai dakwaan negatif terhadap institusi atau jabatan kerajaan.

Katanya, ia merupakan sebahagian strategi pembangkang bagi menimbulkan kekeliruan atau persoalan di kalangan rakyat berhubung kredibiliti agensi atau institusi kerajaan terbabit.

''Tindakan pembangkang memburuk-burukkan agensi kerajaan mungkin merupakan strategi mereka. Kita boleh baca dan faham strategi mereka iaitu dengan menimbulkan tanda tanya tentang kredibiliti sesuatu institusi terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.

Katanya, pembangkang dilihat mahu melunturkan keyakinan rakyat terhadap mana-mana agensi atau institusi kerajaan yang penubuhannya bertujuan memberi kebaikan serta menyediakan khidmat kebajikan kepada masyarakat.

''Sejak dari dulu lagi penubuhan mana-mana institusi di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ada satu pun yang dianggap baik oleh pembangkang.

''Misalnya penubuhan Felda, agensi ini ditubuh untuk membangunkan tanah bagi masyarakat miskin, banyak kemajuan dicapai dan banyak hasil ditimba namun pembangkang tetap menghentam agensi itu.

"Mungkin kerana pimpinan agensi itu turut melibatkan Perdana Menteri, selain faktor UMNO mendapat sokongan kuat daripada masyarakat luar bandar," katanya.

Mengenai dakwaan Presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim membiayai program temu bualnya dengan Cable News Network (CNN) baru-baru ini, kata Muhyiddin, jika dakwaan itu benar, Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut mungkin dalam keadaan terdesak sehingga sanggup berbuat demikian.

"Kalau kenyataan itu betul, mungkin dia berasa terdesak kerana tahu tiada pihak yang percaya beliau lagi, oleh itu, kalau dia terpaksa bayar, dia bayarlah.

"Ini semata-mata mahu membetulkan pembohongan yang telah dilakukan. Dia akan gunakan apa sahaja saluran yang ada bagi membetulkan kesilapan atau kesalahan dia," katanya.

Sementara itu di JEMPOL Muhyiddin menekankan tiga kelangsungan kerja yang mesti digerakkan oleh semua pemimpin UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat biasa bagi kesejahteraan negara.

Katanya, perkara itu adalah kestabilan politik, ekonomi dan kepentingan ilmu (pendidikan) yang akhirnya menuntut sebuah perpaduan yang tinggi, semangat kerjasama dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Ada beberapa perkara yang perlu disuburkan semula, yang dahulu memang telah menjadi perhatian serta diteruskan kelangsungannya.

"Kita harus beri tumpuan dan memastikan supaya kita bersama-sama berkhidmat, baik secara langsung daripada pemimpin politik UMNO dan BN ataupun sebagai rakyat biasa," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jempol di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Jempol di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Lilah Yassin.

Muhyiddin menjelaskan, dalam gerak kerja yang berpaksikan kestabilan politik yang mana negara luar menghargai kemajuan dan pencapaian hebat Malaysia, amat perlu keyakinan terus digilap untuk kejayaan masa hadapan.

hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: