MM - 11/07/10
BESUT 10 Julai - Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup membayar siaran televisyen Cabel News Network (CNN) untuk ditemu bual dalam usaha menjernihkan hubungannya dengan kelompok Yahudi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan menggunakan apa cara untuk terus mendapat sokongan dan pengaruh bagi memenuhi cita-citanya seperti yang dilakukan selama ini.
Katanya, bagi mereka yang telah menyedari apa yang telah Anwar lakukan selama ini, tidaklah mustahil beliau berbuat demikian untuk menyakinkan pelobi Yahudi bahawa beliau bukan anti-Yahudi.
"Jika benar Anwar membayar kepada CNN, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi.
"Beliau akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zain, yang juga Ahli Parlimen Besut.
Mohd. Shafie diminta mengulas kenyataan Presiden Trevino Strategies and Media Inc., Joshua Trevino yang mendakwa Anwar membiayai program temu bualnya dengan CNN bagi menarik keyakinan para pelobi Yahudi terhadapnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Shafie berkata, orang Melayu akan berdepan dengan kemudaratan jika mereka membiarkan perpecahan terus berlaku dan mengambil mudah soal sokongan kepada parti-parti politik tanpa mempedulikan landasan perjuangan mereka.
Beliau berkata, kesan awal daripada keadaan itu semakin jelas dengan memberi contoh bagaimana institusi raja dan kedudukan agama kini cuba dicabar dan dihina oleh sesetengah pihak.
Katanya, orang Melayu yang menyokong parti tanpa mengira pegangan mereka seperti DAP, akhirnya akan merugikan mereka sendiri seperti terhakisnya kuasa orang Melayu dan mengugat masa depan bangsa dan negara.
/hwa: utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan