25 September 2010

Jadikan iktibar, Nurul Izzah tanding Naib Presiden PKR - Muhyiddin

UM - 25/9/10

KOTA MARUDU 24 Sept. - Keputusan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajar dijadikan iktibar kepada rakyat dalam menilai integriti, keterbukaan dan ketelusan parti pembangkang berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu secara tidak langsung membuktikan parti pembangkang berkenaan mengamalkan nepotisme.

''Dahulu bukan main lagi mereka kata kita, tetapi kini dia lebih teruk daripada kita. Kata pepatah, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandau di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas keputusan Nurul Izzah bertanding jawatan Naib Presiden parti itu November depan.

Tindakan itu sekali gus membuktikan amalan nepotisme yang mengutamakan pertalian ahli keluarga semakin menebal di dalam parti yang diketuai oleh ayah Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya, telah membuktikan ia adalah parti demokratik apabila memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli untuk bertanding.

Beliau menambah, apa yang berlaku dalam parti pembangkang itu tidak penting kerana yang lebih penting adalah untuk semua parti komponen BN mengukuhkan hubungan di antara ahli.

Dalam hal ini, Muhyiddin gembira kerana BN Sabah berjaya mengukuh dan memantapkan hubungan sesama ahli seperti disaksikan pada perjumpaan tidak rasmi malam semalam.

''Kita di peringkat pusat akan sentiasa memberikan komitmen bagi membantu rakyat Sabah supaya mereka dapat menikmati kemajuan sama seperti rakyat di negeri lain," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: