UM - 25/9/10
PETALING JAYA 24 Sept. - Pengerusi Eksekutif I'DA World Sdn. Bhd. (I'DA World), Abdul Rahim Abdul Wahab mempertahankan kenyataannya bahawa kerajaan Kelantan tahu tentang perancangan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) bernilai RM1 trilion dan secara dasarnya bersetuju memperhalusi cadangan itu.
Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di Kelana Jaya hari ini, Abdul Rahim mengemukakan bukti dalam bentuk gambar menunjukkan pertemuannya dengan beberapa pemimpin Pas Kelantan di beberapa tapak projek di negeri berkenaan yang diambil sejak 1998.
Gambar-gambar itu antaranya menunjukkan pertemuan Abdul Rahim dan para pengarah I'DA World dengan Nik Abdul Aziz sendiri; Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob; Exco kerajaan negeri dan Nik Din.
Gambar-gambar itu juga disokong oleh beberapa surat persefahaman pelaksanaan beberapa projek di Kelantan di antara I'DA World dan juga Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).
"Hasrat menjalankan projek S7 telah saya suarakan kepada Datuk Nik (Abdul) Aziz sejak 1998 pada satu majlis di Kelantan dan majlis itu turut dihadiri Sultan Ismail Petra (Sultan Kelantan Keempat).
"Tindakan beliau menafikan tentang hasrat kami (I'DA World) melaksanakan projek itu menimbulkan kekecohan dan mengecewakan, namun apa boleh buat, orang sudah tidak mahu kita pun terpaksa batalkan," katanya.
Abdul Rahim memberikan penjelasan itu selepas timbul kekecohan berkenaan sumbangan RM4 bilion daripada I'DA World kepada kerajaan Pas Kelantan baru-baru ini.
Pada majlis itu, Abdul Rahim telah menyampaikan cek sumbangan RM4 bilion kepada kerajaan Kelantan menerusi Nik Din, iaitu adik kepada Nik Abdul Aziz untuk pembangunan di Rantau Panjang.
Nik Abdul Aziz kemudiannya mengaku tidak tahu-menahu mengenai sumbangan itu kepada pihaknya sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengarut, sementara Nik Din pula mengakui menerima sumbangan itu atas kapasiti peribadi memandangkan tiada wakil Exco negeri hadir pada malam itu.
Nik Abdul Aziz selepas itu pula memberitahu kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan syarikat I'DA World daripada melaksanakan projek di negeri berkenaan.
Abdul Rahim menambah, 'penyerahan' cek RM4 bilion itu sebenarnya telah disalahertikan media kerana ia bukan merupakan replika cek.
"Tetapi ia (replika cek) hanya satu pengumuman bahawa jumlah sebanyak itu akan dibayar secara berperingkat kepada Pas Kelantan selepas I'DA World mendapat keuntungan daripada projek yang dirancang di Rantau Panjang, bukannya mereka terus dapat sekarang," tegasnya.
Pada Mei tahun lalu, Abdul Rahim mengumumkan rancangan projek I'DA World di Kelantan membabitkan pembinaan lebuh raya (Hubungan Timur-Barat) serta saluran paip gas dan minyak sepanjang 300 kilometer bermula dari Tumpat, Kelantan sehingga ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah.
Selain itu, beliau turut mengumumkan tentang rancangan pembangunan S7 dan pembangunan integrasi di Tumpat serta bandar peranginan di Pasir Mas.
Pemeriksaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Rahim memegang 75 peratus saham I'DA World, sementara modal dibenarkan (authorized capital) syarikat itu bernilai RM1 juta.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan