UM - 25/9/10
KOTA BHARU 24 Sept. - Kerajaan negeri belum bercadang mengambil tindakan saman ke atas syarikat I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) yang dikatakan telah membuat kenyataan tidak berasas mengenai pentadbiran negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setakat ini, keputusan untuk menyenarai hitam syarikat itu daripada beroperasi di negeri ini sudah memadai.
"Tidak ada, kita berhenti setakat itu dulu, biar begitu dulu," katanya ringkas kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di pekarangan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif I'DA World, Abdul Rahim Abdul Wahab mendakwa telah memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM4 bilion kepada Pas negeri sebagai hadiah kerana kononnya mendapat kelulusan kerajaan untuk melaksanakan Projek Super Mega Seri Tujuh di Tumpat.
Penyampaian replika cek sumbangan itu diterima oleh adik Nik Abdul Aziz iaitu Nik Din dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan I'DA World di salah sebuah hotel di sini.
Nik Abdul Aziz semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kelmarin menyifatkan dakwaan syarikat mengenai sumbangan RM4 bilion itu sebagai mengarut dan menegaskan tidak pernah melantik mana-mana individu bagi mewakilinya pada majlis penyerahan sumbangan tersebut.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan