28 September 2010

Pas Kelantan beri tumpuan persiapan pilihan raya kecil DUN Galas

UM - 28/9/10

KOTA BHARU 27 Sept. - Pas Kelantan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan kematian wakil rakyat parti itu, Chek Hashim Sulaima di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur, petang ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang arahan kepada jentera parti di peringkat bawah bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Pada masa sama, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang telah berkorban menjaganya sepanjang dirawat akibat penyakit tersebut.

"Persiapan Pas seperti biasa, kita orang Islam bersiap sedia 24 jam, selama-selamanya. Tidak mesti siap untuk pilihan raya tetapi siap sedia lawan nafsu dan godaan syaitan.

"Kita sentiasa bersiap, mati tidak ada amaran, anak dalam perut pun mati. Kita tidak keluar arahan lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Chek Hashim, 47, yang menghidap barah paru-paru disahkan meninggal dunia petang ini selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak lima hari lalu. Allahyarham menjalani rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, beliau menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, Allahyarham tewas kepada Mohamad Saufi dengan majoriti 1,729 undi.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar berkata, kehilangan Chek Hashim amat dirasai kerana Allahyarham amat aktif dalam pelbagai kerja sukarela.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: