UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Laungan amalan demokrasi di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan permainan politik bagi menutup strategi menjadikan parti tersebut milik keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Mesyuarat Agung PKR bulan depan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, laungan demokrasi dalam PKR cuma untuk mengelirukan rakyat dan menipu ahli kerana pucuk pimpinan parti itu telah menentukan calon mana yang akan menang terutamanya ahli keluarga dan kroni Anwar.
Jelasnya, pencalonan anak Anwar, Nurul Izzah sebagai Naib Presiden dengan sokongan terbuka kepada Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Timbalan Presiden juga cuma satu strategi untuk menunjukkan kemenangannya kelak bukan kerana pengaruh bapanya.
"Anwar menggunakan pengikut-pengikutnya untuk memastikan kroni dan ahli keluarganya menang supaya mudah untuk dia buat apa yang dikehendaki dalam parti kelak.
"Cara ini pernah digunakan Anwar semasa di dalam UMNO dahulu dan bila sudah keluar UMNO dia masih mengamalkan gaya memimpin yang sama," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian berkata demikian pada sidang akhbar di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Menteri Pertanian, Chua Tee Yong; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dan ketua jabatan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Rohana Jalil, Shiela OIAM dan beberapa artis baru.
Penguasaan keluarga Anwar selaku Penasihat PKR dijangka lengkap dengan pengekalan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai Presiden dan jika anak emasnya, Azmin Ali dan Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan dan Naib Presiden parti.
Mengulas kekecohan mesyuarat cabang PKR akibat calon-calon yang mendapat 'restu' Anwar dan Azmin tidak dipilih, Noh menegaskan ahli parti itu sendiri telah nampak dan sedar dengan apa yang sedang berlaku di kalangan pucuk pimpinan PKR.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan