UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kekecohan yang berlaku semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan 'tahap' kepimpinan yang ada dalam parti itu masih lemah.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P. Sivamurugan berkata, kejadian seperti membaling kerusi dan mengoyak kertas undi memberi petanda tidak sihat dan ia tidak seharusnya berlaku.
"Mereka mengabaikan etika dan proses pemilihan yang betul. Ini menunjukkan wujudnya budaya berpuak dalam parti yang kemudiannya mencetuskan perpecahan.
"Tindakan itu juga mungkin berpunca daripada provokasi yang dicetuskan oleh sesetengah pihak dan kegagalan mereka mengawal emosi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kekecohan semasa mesyuarat cabang PKR semalam di Subang, Kapar dan Klang seperti yang dilaporkan sebuah portal berita dalam talian, FreeMalaysiaToday (FMT).
Sivamurugan berkata, kejadian itu juga akan menjadi tarikan kepada mereka yang berada dalam parti pimpinan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu termasuklah pengundi atas pagar yang akan membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum nanti.
Sementara itu, Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula menyifatkan kekecohan tersebut menunjukkan berlaku persaingan yang kuat dalam pemilihan parti itu.
"PKR kini berada dalam keadaan di mana ahli-ahlinya bersaing sengit untuk merebut jawatan dalam pemilihan.
"Ketiadaan pengalaman kerana ini kali pertama mereka membuat pemilihan cabang juga merupakan faktor kekecohan apabila ahlinya diberi peluang untuk memilih," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan