UM - 28/9/10
IPOH 27 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir secara sinis menyifatkan kekecohan pada mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara menggambarkan parti tersebut ''sangat baik, sangat sempurna dan mempunyai nilai-nilai prinsip demokrasi hebat."
Beliau berkata, PKR kini jelas tidak mampu lagi menyembunyikan masalah dihadapi dengan apa yang berlaku.
''Apa yang berlaku adalah satu gambaran mereka yang sangat baik, mereka yang sangat sempurna, mereka yang kononnya mempunyai nilai-nilai prinsip demokrasi paling hebat sehinggakan kerusi dan kertas-kertas undi bertebaran.
''Saya ucap tahniahlah kepada mereka," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini hari ini.
Beliau ditanya tentang kekecohan pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR di seluruh negara yang didakwa berpunca daripada calon-calon mendapat 'restu' Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pencabar jawatan Timbalan Presiden, Azmin Ali tidak dipilih ahli.
Bekas Setiausaha Sulit Kanan Anwar, Anuar Shaari berkata, ia membuktikan bahawa parti itu langsung tidak bertunjangkan kepada kepentingan ahli akar umbi sebaliknya berpaksikan kepada agenda peribadi pemimpin tertentu sahaja.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan