UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan beberapa lagi kepincangan dalam parti itu menjelang pengundian peringkat cabang bagi memilih pimpinan pusat, Oktober ini.
Menurut P.S. Jenapala yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, apa yang mengecewakan, segala kepincangan serta penipuan yang berlaku itu seolah-olah dibiarkan oleh pimpinan tertinggi termasuk penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwa beliau, dalam kes membabitkan Cabang Jeli, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim sememangnya telah memenangi pencalonan cabang itu menerusi kiraan pertama dan kiraan kedua pengundian.
''Tetapi, agak menghairankan apabila Azmin Ali pula yang menerima pencalonan cabang itu untuk bertanding jawatan timbalan presiden selepas dikatakan berlaku pengundian sulit.
''Begitu juga di Pensiangan, Sabah apabila seorang calon yang diisytiharkan muflis dibenarkan bertanding melawan calon yang dilihat penyokong kuat Zaid sebagai ketua cabang berkenaan.
''Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa mereka yang bersekutu dengan Azmin telah menggunakan kesemua kuasa yang ada untuk dibenarkan bertanding,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jenapala sebelum ini mendedahkan penipuan yang dilakukan pihak tertentu bagi merebut jawatan timbalan presiden apabila dua cabang iaitu Batu Gajah dan Bruas di Perak yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan nombor dua tertinggi parti itu diarah menarik balik pencalonan.
Ini kerana beliau dikatakan bukan calon pilihan pihak tertentu.
Tambah Jenapala yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 1998, dalam kes berlainan, beliau telah dimaklumkan bahawa Anwar pernah menghubungi beberapa calon agar membatalkan niat untuk bertanding menentang Azmin.
''Anwar juga pernah secara terang-terangan mengatakan bahawa Zaid akan kalah dalam sebuah majlis parti baru-baru ini,'' katanya.
Beliau berkata, segala kepincangan yang berlaku dalam parti adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan Anwar dan Azmin.
''Sejak 1998 lagi, kita sudah melalui dan melakukan macam-macam untuk parti. Tetapi, Anwar kini seakan-akan tidak berminat untuk menyelamatkan parti,'' katanya yang setakat ini baru menerima satu pencalonan dari Cabang Kalabakan, Sabah.
Dalam perkembangan lain, Jenapala menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin Nasution Ismail jika Setiausaha Agung PKR itu gagal mengemukakan bukti atas dakwaannya yang beliau tidak lagi menjadi ahli PKR setelah dipecat pada Februari 2009.
''Saya sendiri sudah menghantar surat kepadanya agar beliau dapat kemukakan dokumen bahawa saya telah dipecat.
''Sehingga kini, saya tidak mendapat jawapannya. Kalau saya dipecat kerana mengkritik kepimpinan parti secara kasar, mengapa nama saya tidak disebut dalam laporan Lembaga Disiplin ketika Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 31 Januari 2009?''
Dalam mesyuarat Biro Politik pada 25 Februari 2009 pula, kata beliau, namanya juga tidak tersenarai sebagai ahli yang dirujuk ke Lembaga Disiplin.
''Saya pun tidak pernah menerima apa-apa surat berhubung pemecatan,'' jelasnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan