28 September 2010

Pemimpin perlu mengawasi ahli - Khalid

UM - 28/9/10

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta menasihatkan ahlinya supaya tidak bersikap kebudak-budakan ketika mesyuarat cabang parti itu berlangsung sehingga tercetusnya pergaduhan sesama mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, seharusnya pemimpin tertinggi PKR mengawasi ahli-ahlinya agar proses demokrasi itu berjalan tanpa insiden yang memalukan.

Beliau mengeluarkan nasihat itu selepas polis menerima dua laporan berhubung pergaduhan yang berlaku ketika proses pemilihan Ketua Cabang Kota Raja.

"Mengikut laporan, ahli-ahli cabang itu telah bergaduh dengan menggunakan kayu, bertumbuk serta membaling kerusi sehingga menyebabkan keadaan dewan berselerak.

"Kejadian berlaku ketika proses pemilihan parti itu merupakan insiden yang memalukan. Buat apa mereka (ahli PKR) bergaduh seperti budak-budak sedangkan semuanya orang dewasa.

"Bertindaklah seperti orang dewasa yang memahami proses demokrasi. Pemimpin tertinggi parti sepatutnya menasihatkan ahlinya tentang itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan kekecohan berlaku ketika pemilihan Ketua Cabang Kota Raja yang menyaksikan perebutan tiga penjuru antara ketuanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar dengan S. Kottappan dan M. Telaiamblam.

Khalid menambah, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan akan membuat tangkapan jika perlu.

Dalam pada itu, Khalid menafikan dakwaan blog Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, bahawa polis telah mengiringi 18 peti undi Cabang Kota Raja ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya berikutan kekecohan yang berlaku.

Beliau berkata, polis tidak mencampuri urusan pemilihan parti itu kerana anggota yang bertugas tidak dibenarkan memasuki kawasan pemilihan.

"Kita (polis) hanya memantau dari luar kawasan sahaja supaya kejadian yang berlaku di dalam kawasan pemilihan tidak diheret ke luar.

"Kita menjaga agar ia tidak mengganggu ketenteraman orang awam yang tidak terlibat," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: