2 Oktober 2010

Aksesori seks dijual secara terbuka di Kota Bharu

UM - 2/10/10


SEORANG peniaga menjual ubat dan peralatan seks kepada orang ramai di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 1 Okt. - Pada setiap pagi Jumaat, Jalan Dato' Pati dan jalan serta lorong sekitarnya dekat sini, akan menjadi tumpuan warga bandar termasuk penduduk dari daerah berhampiran.

Lazimnya, orang ramai datang untuk mendengar kuliah mingguan yang disampaikan oleh Menteri Besar yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat di pejabat Pas negeri yang terletak di sini.

Kedudukan jalan tersebut di tengah-tengah bandar dan berhampiran pula dengan stesen bas dan kereta sewa memudahkannya untuk diakses oleh orang ramai termasuk yang menggunakan kenderaan sendiri.

Kehadiran begitu ramai pengunjung menjadikan Jalan Dato' Pati sesak ibarat Jalan Petaling atau Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Kedatangan begitu ramai pengunjung turut menjadikan kawasan tersebut tumpuan di kalangan peniaga kecil untuk memasarkan pelbagai barangan sama ada keperluan harian, hasil pertanian, buku, majalah, kain baju, tudung dan banyak lagi.

Maka tidak hairanlah kawasan tersebut tiba-tiba berubah wajah pada setiap pagi Jumaat dengan pelbagai ragam peniaga dan pengunjung.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu, sama ada disedari atau tidak, kawasan tersebut sebenarnya turut menjadi tumpuan penjual 'ubat kuat' yang turut memasarkan pelbagai jenis, saiz serta bentuk 'aksesori seks' secara terbuka.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati, tidak kurang enam penjual yang menjual pelbagai jenis 'ubat kuat' dan aksesori seks.

Kebanyakan penjual terbabit meletakkan ubat dan aksesori seks tersebut di atas meja tanpa perlu berselindung takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Namun, ada juga yang bertindak menutup dengan kertas putih gambar-gambar lucah yang terdapat pada pelekat atau kotak ubat yang dijual, tetapi ia hanya melibatkan yang dipamerkan sahaja.

Terdapat juga penjual yang cuba menyembunyikan kegiatan mereka di sebalik penjualan barangan lain kerana bimbang dikesan pihak berkuasa atau tidak mahu ia dilihat kaum wanita yang turut membanjiri kawasan berkenaan.

"Tutup sikit, nanti anak dan isteri kita tengok," kata seorang peniaga ketika seorang pembeli terdiri daripada seorang lelaki warga emas cuba tawar-menawar ubat kuat yang dijualnya.

Lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an itu cuba tawar-menawar sekotak ubat kuat berharga RM60 yang di dalamnya turut mengandungi beberapa keping gambar lucah.

Di sudut lain pula, terdapat seorang penjual yang begitu asyik meyakinkan pengunjung mengenai keistimewaan ubat seks yang dijualnya berharga antara RM5 hingga RM60, bergantung kepada jenis dan kekuatan ubat berkenaan.

Selain menjual ubat, lelaki terbabit turut menjual pelbagai jenis aksesori seks untuk lelaki dan wanita.

Turut menarik perhatian pengunjung ialah kehadiran seorang peniaga yang menjual 'minyak kuat' dengan turut mempamerkan beberapa ekor lintah gergasi.

Penjualan ubat dan aksesori seks tersebut yang dibuat secara terbuka bukan sahaja menarik golongan lelaki pelbagai peringkat umur yang ingin 'menjadi kuat', tetapi juga golongan kanak-kanak dan remaja yang hadir ke kawasan tersebut bersama-sama ibu bapa mereka.

Apa yang membimbangkan ialah, kebanyakan ubat-ubat tersebut dibawa masuk dari luar negara berdasarkan tulisan yang tertera pada kotak ubat berkenaan dan tidak mempunyai cop atau tanda kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.

Justeru, dibimbangi pengambilan ubat tersebut tanpa kawalan dan aturan yang betul boleh mengundang mudarat kepada orang ramai.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman, 40-an berkata, pihak berkuasa sewajarnya memantau penjualan ubat dan barangan tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi implikasi tidak baik kepada masyarakat khusus remaja.

"Adalah tidak wajar penjualan ubat-ubat dan aksesori seumpama itu dibuat secara terbuka.

"Kita bimbang sekiranya pengambilan ubat dan penggunaan aksesori tersebut dibuat secara tidak terkawal, ia boleh mendatangkan kemudaratan," katanya ketika ditemui, di sini semalam.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: