2 Oktober 2010

Barisan Nasional pilih calon terbaik di Galas - PM

UM - 2/10/10

PUTRAJAYA 1 Okt. - Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon terbaik untuk mengemudi cabaran parti itu pada pilihan kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini beliau tidak mahu membayangkan individu tertentu tetapi masih menunggu senarai calon yang sesuai.

''Yang semua telah tahu kita sudah putuskan melantik Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua UMNO Bahagian Gua Musang) sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN di Galas, yang bersedia dan komited untuk bekerja keras dalam memastikan BN menang.

''Justeru, saya masih menunggu senarai cadangan calon yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat pameran Pertandingan Reka Bentuk Hospital Kerajaan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai calon BN bagi kerusi pilihan raya kecil Galas.

Menurut ketuanya, Anuar Safian, pihaknya yakin kewibawaan dan kepimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang satu kelebihan bagi BN merampas kembali kerusi berkenaan daripada Pas.

Dalam pada itu, Najib ketika ditanya saranan Pas supaya BN tidak meletakkan calon di Galas berkata, BN perlu bertanding selaras dengan amalan demokrasi yang sihat di negara ini.

''Ini kerana kekosongan di Galas disebabkan berlaku kematian (penyandangnya dari Pas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima).

''Hanya sekali kita sengaja tidak bertanding (iaitu di Penanti, Pulau Pinang) kerana kita rasa ia membazir dari segi kewangan.

''Jadi, kalau BN bertanding, ia membolehkan pengundi di Galas membuat pilihan sama ada hendak memilih BN atau Pas," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai tindakan pakatan pembangkang yang terus menggerakkan momentum 'Menuju Putrajaya' (menguasai kerajaan pada pilihan raya umum akan datang), Najib berkata, pembangkang boleh mencetuskan apa sahaja momentum termasuk '16 September' yang gagal beberapa tahun lepas.

''Yang penting BN perlu bekerja lebih keras dalam usaha mendapat keyakinan rakyat," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: