UM - 1/10/10
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengakui parti itu menghadapi cabaran besar dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil akan datang.
Justeru katanya, Pas kini perlu menghitung segala aspek dalam pertandingan itu dengan bijaksana seperti mengambil kira kekuatan dan kelemahan sendiri serta kelebihan yang ada pada Barisan Nasional (BN).
"Jadi semua faktor mesti diambil kira, yang penting parti kita mesti mengambil kira semua strategi, kekuatan musuh, ini sikap lebih baik daripada (sikap) terlalu yakin.
"Bagi saya, cabaran besar itu bermaksud kita kena hitung semua aspek teknikal, fizikal kita dan komitmen dalam mempertahankan kemenangan kita di Galas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron hari ini di Kota Bharu mengakui parti itu 'sedikit gusar' dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Galas ekoran pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.
Kata Abdul Fatah, ini kerana ketokohan Tengku Razaleigh akan memberi impak yang besar sehingga berupaya membawa kemenangan kepada BN.
Namun berbeza dengan Abdul Fatah, Salahuddin menjelaskan, pelantikan Tengku Razaleigh bukan merupakan ancaman kepada Pas memandangkan parti tersebut pernah bekerjasama dengan pemimpin UMNO itu ketika memperjuangkan beberapa isu termasuk tuntutan royalti petroleum buat Kelantan.
Dalam perkembangan sama, Salahuddin turut mempersoalkan strategi UMNO dan BN kali ini yang didakwanya lari daripada tradisi apabila Timbalan Perdana Menteri tidak dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya kecil.
Beliau menambah, pengarah jentera pilihan raya Pas untuk Galas akan diumumkan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu mesyuarat di Gombak Ahad ini.
Katanya, antara agenda utama Pas pada mesyuarat itu nanti sudah tentu berkisar kepada strategi dan perkembangan parti bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.
Kerusi DUN Galas kosong selepas penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari Pas meninggal dunia akibat barah paru-paru Isnin lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan