UM - 1/10/10
SEREMBAN 30 Sept. - Pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan satu pilihan yang tepat.
Ahli Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tokoh politik itu mampu menggalas tugas tersebut dengan baik kerana beliau mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kalangan penduduk di Galas, Kelantan.
"Pelantikan itu tepat sekali, maklumlah Gua Musang itu adalah tempatnya dan beliau mempunyai pengaruh besar di kawasan itu.
"Melihat kepada pengaruh itu, kita yakin pilihan raya kecil ini dapat memberi keputusan yang memihak kepada BN," katanya selepas merasmikan Kilang Bateri Otomotif Astra Manufacturing Sdn. Bhd. di Mantin dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya akan berusaha untuk menjelaskan sebaik mungkin isu royalti minyak yang mungkin dimainkan oleh parti lawan terutama Pas untuk mengelirukan rakyat.
"Isu royalti minyak kerap kali diterangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Namun, pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas ini kita akan terus menjelaskan sebaik mungkin keadaan sebenarnya kerana yang kita lihat kerajaan Pas di Kelantan kerap memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat yang akhirnya menjadi isu politik.
''Kita akan berusaha menjelaskan sebaik mungkin isu ini supaya rakyat tidak lagi keliru," katanya.
Ketika ditanya tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan mengajak ahli UMNO menyertai Pas atas nama perpaduan, Mukhriz menganggap ia bersifat politik semata-mata.
"Bagi saya UMNO lebih ke hadapan dalam soal inginkan perpaduan. Apabila kenyataan yang sama dikeluarkan sewaktu dekat Pilihan Raya Kecil DUN Galas, jadi kita terpaksa melihatnya dengan sedikit ragu-ragu," katanya.
Sementara itu Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan supaya Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya percaya Tengku Razaleigh (Ku Li) yang juga Ketua UMNO bahagian adalah tokoh yang sesuai dengan keadaan politik semasa untuk memulihkan DUN Galas dan keyakinan rakyat kawasan itu kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, mengambil kira keupayaan Ku Li menjadi Ahli Parlimen Gua Musang selama lebih 30 tahun, cadangan itu wajar difikirkan oleh pucuk pimpinan parti demi masa depan rakyat Gua Musang dan Kelantan amnya.
"Sudah tiba masanya Ku Li diberi peranan yang lebih termasuk menjadi Ahli Parlimen dan DUN sekali gus dengan keupayaan beliau sebagai orang lama di samping boleh memainkan peranan yang lebih di Dewan Undangan Negeri Kelantan," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau pada masa yang sama berharap agar pengundi di kawasan itu membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya kecil itu nanti.
"Walaupun ini cuma satu kerusi dalam DUN Kelantan, tetapi maknanya besar. Kerajaan sekarang telah membuktikan bahawa kita mampu untuk menggubal dasar dan mengatur strategi yang benar-benar memberi manfaat dan faedah kepada rakyat khususnya dalam soal memulihkan ekonomi negara.
"Jadi, melihat akan kejayaan kerajaan sekarang saya harap sokongan daripada rakyat dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan