UM - 4/11/10
GUA MUSANG 3 Nov. - Tindakan kerajaan Pas Kelantan yang sering membangkitkan masalah tanah ketika Kerajaan Pusat mahu menjalankan projek pembangunan untuk rakyat, jelas membuktikan wujud niat yang tidak baik di kalangan pemimpin mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, motifnya semata-mata menimbulkan rasa sangsi dan syak wasangka bahawa Kerajaan Pusat enggan membela rakyat Kelantan.
Sedangkan pada hakikatnya beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah mensesiakan nasib rakyat negeri ini malah mereka sentiasa dibantu melalui projek-projek pembangunan yang dibawa.
''Oleh itu saya meminta rakyat tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan seperti ini. Persoalannya apabila kita mahu jalankan projek pembangunan kerajaan Pas Kelantan kata masalah tanah tidak selesai. Apa maknanya ini?
''Bagi saya ini niat yang tidak baik. Mereka sebenarnya mahu menimbulkan rasa sangsi di kalangan rakyat dengan mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) berbohong," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gua Musang di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ; timbalannya, Dr. Awang Adek Hussin dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff.
Muhyiddin berkata, selama ini kerajaan Pusat sentiasa membantu Kerajaan Pas Kelantan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pembelaan sewajarnya.
''Misalnya dalam isu bekalan air bersih kepada penduduk Kelantan, kita telah menyalurkan bantuan dalam bentuk pinjaman mudah kepada kerajaan Pas Kelantan sebanyak RM700 juta.
''Kerajaan Pas Kelantan tidak mempunyai wang dan dalam masa sama air pula semakin kotor. Akhirnya mereka berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Beliau berkata, penyaluran bantuan itu adalah atas nama rakyat kerana Kerajaan Pusat tidak mahu rakyat Kelantan menggunakan atau minum air kotor.
''Ini adalah salah satu contoh. Sebenarnya banyak lagi masalah yang dihadapi oleh Pas tidak dapat diselesaikan kerana masalah kewangan. Dari segi kewangan mereka tidak ada kemampuan," katanya lagi.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan