4 November 2010

Siapa bakal kuasai DUN Galas?

UM - 4/11/10


Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan helikopter untuk membawa peti undi ke pusat pengundian Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG 3 Nov. - Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berakhir malam tadi dan esok seramai 11,553 pengundi akan keluar mengundi bagi menentukan siapa yang bakal mereka pilih sebagai wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertarungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Chek Hashim Sulaima daripada Pas pada 27 September lalu kerana barah usus.

Ini merupakan penyertaan pertama Abdul Aziz yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang dalam pilihan raya manakala ketiga bagi Dr. Zulkefli. Beliau sebelum ini tewas dalam dua pilihan raya yang disertainya iaitu dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 bagi merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

DUN Galas yang dianggap kubu kuat BN dirampas oleh Pas melalui Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 selepas Allahyarham menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646.

Galas merupakan salah satu kerusi dalam Parlimen Gua Musang yang diwakili Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN tersebut. Dua lagi kerusi di DUN berkenaan ialah Paloh dan Nenggiri yang kedua-duanya milik BN.

Daripada 11,553 pemilik yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, seramai 7,125 orang atau 61.67 peratus pengundi Melayu, Cina (2,317 orang atau 20.06 peratus), India (185 orang atau 1.60 peratus), Orang Asli (1,839 orang atau 16.35 peratus), bumiputera Sarawak (10 orang atau 0.09 peratus) dan lain-lain (27 orang atau 0.23 peratus.

Bagi melancarkan proses pengundian hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 13 daerah mengundi yang mempunyai 25 saluran.

Suruhanjaya itu juga turut menyediakan dua buah helikopter dan empat kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan proses pengundian di kawasan pedalaman berjalan lancar.

Kemudahan logistik itu disediakan memandangkan keadaan jalan di empat daripada enam daerah mengundi melibatkan Orang Asli yang sukar dihubungi menggunakan kenderaan biasa.

Keempat-empat daerah itu ialah Belatin dengan 160 pengundi, Balar (232 pengundi), Bihai (278 pengundi) dan Hau (254 pengundi).

Sepanjang 10 hari kempen berlangsung, selain program rumah ke rumah, kedua-dua parti turut mengadakan pelbagai program bagi meraih sokongan. Bagaimanapun berbanding Pas, BN hanya mengadakan ceramah secara kecil-kecilan.

Bagi membantu Pas berkempen, hampir kesemua pemimpin kanan parti pembangkang turun ke Galas termasuklah Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anak beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut serta berkempen ialah Ahli Parlimen Lembah Klang, Nurul Izzah yang juga anak Anwar; Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Daripada segi isu pula, BN memaparkan mengenai perkara-perkara yang bakal dilaksanakan di kawasan tersebut dan kenapa pentingnya parti itu kembali menguasai DUN Galas. Parti pembangkang pula terus membangktikan isu-isu nasional.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas merupakan pilihan raya kecil kedua yang diadakan di Kelantan sejak selepas pilihan raya umum 2008. Sebelum ini BN dan Pas 'bertembung' di kerusi DUN Manek Urai yang menyaksikan Pas mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 65 undi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas dijangka diketahui pukul 8 malam, esok.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: