UM - 25/12/10
SHAH ALAM 24 Dis. – Para peniaga di bandar raya ini membantah larangan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung penggunaan logo 1Malaysia pada papan tanda dan iklan di negeri ini.
Menurut mereka, konsep 1Malaysia itu tidak perlu dipolitikkan kerana ia mempunyai tujuan yang baik bagi menyatukan masyarakat negara ini dalam menuju negara maju.
Seorang peniaga, Pan Sau Tan, 36, berkata, semua rakyat Malaysia berhak berniaga bagi menyara keluarga mereka dengan apa cara sekalipun selagi ia tidak melanggar undang-undang negara.
‘‘Jika ada pihak yang menggunakan logo 1Malaysia pada perniagaan mereka, ia hanya untuk tujuan perniagaan bukannya politik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas larangan kerajaan negeri itu, katanya, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku.
Rabu lalu, sebuah premis kedai serbaneka 24 jam di Banting, Kuala Langat telah diarahkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menanggalkan logo 1Malaysia pada papan tanda perniagaannya selaras dengan arahan kerajaan negeri itu.
Pandangan Sau Tan turut dikongsi oleh seorang peniaga dari Banting, M.Aidros, 60, yang menganggap konsep 1Malaysia sebagai satu cabaran kepada pakatan pembangkang yang turut menggabungkan semua kaum
‘‘Jika kerajaan negeri ingin melarang penggunaan logo tersebut, mereka perlu juga memberi arahan yang sama kepada semua bentuk paparan termasuk di badan bas persiaran yang memasuki negeri ini.
‘‘Soalnya, logo 1Malaysia bukan lambang yang mewakili sesuatu perkara buruk. Konsep itu ternyata mampu menyatukan kaum di negara ini yang sepatutnya digalakkan bersatu,” ujarnya.
Seorang peniaga di Seksyen 30 di sini, Ahmad Saiful, 25, juga tidak menganggap logo 1Malaysia mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak kerana rakyat negara ini semakin matang dalam berfikir.
‘‘Saya melihat 1Malaysia sebagai satu konsep yang sesuai untuk kaum Melayu, Cina dan India supaya mereka terus bersatu hati termasuk dalam perniagaan.
‘‘Jika kita berkongsi berniaga dengan pelbagai bangsa, perniagaan akan dapat berkembang kerana semua orang bertumpu di kedai yang sama,” jelasnya.
Seorang lagi peniaga, Yusri Mat Noor, 26, juga tidak menyokong tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri terhadap peniaga yang menggunakan logo 1Malaysia kerana ia boleh menjejaskan perniagaan mereka.
‘‘Saya bersimpati dengan nasib peniaga terlibat dan ia jelas memperlihatkan sikap tidak prihatin kerajaan negeri terhadap peniaga di negara ini.
‘‘Peniaga menggunakan logo itu kerana sedar semangat perpaduan perlu diwujudkan di kalangan kita yang asyik bercakaran kerana masalah politik, 1Malaysia hanya satu slogan untuk kebaikan bukan cacian kepada kerajaan pakatan pembangkang,” ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan