25 Disember 2010

Pilihan raya DUN Tenang 30 Januari 2011

UM - 25/12/10


Abdul Aziz Mohd. Yusof mengumumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil bagi DUN Tenang di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 24 Dis. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor manakala hari pengundian pada 30 Januari.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penetapan tarikh tersebut dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor pada 17 Disember lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang ekoran kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

‘‘Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

‘‘Sebanyak 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit,” katanya sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Sulaiman, 59, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu.

Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Tenang pada Pilihan Raya Umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz memberitahu, SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

‘‘Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi dan seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini.

‘‘Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008,” katanya.

Pada sidang akhbar itu juga beliau mengumumkan pelantikan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis, Md. Asri Amir sebagai pegawai pengurus pilihan raya selain tiga penolong pegawai pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

‘‘Tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan yang diketuai oleh seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: