1 Januari 2011

Ahli Parlimen Serdang gagal fahami sensitiviti Islam

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini dibidas kerana masih gagal memahami sensitiviti masyarakat Islam apabila sekali lagi mengundang kontroversi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebagai seorang pemimpin kepada sebilangan besar masyarakat Islam maka Nie Ching tidak sepatutnya berpakaian ketat ketika melakukan senamrobik di pekarangan masjid.

Katanya, Nie Ching perlu peka dengan sensitiviti umat Islam supaya menjadi seorang pemimpin yang boleh dicontohi oleh masyarakat.

''Tidak salah acara senamrobik dalam program Maal Hijrah itu tetapi cara berpakaian Nie Ching itu yang tidak sesuai dan tambahan pula pekarangan masjid masih lagi suci kepada umat Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Nie Ching daripada DAP yang memakai baju ketat ketika melakukan senamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong.

Malah Nie Ching dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching menyebut acara senamrobik itu adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Jamil Khir berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh Nie Ching kerana beliau bukannya orang biasa tetapi pemimpin masyarakat.

''Setiap pemimpin yang bukan beragama Islam mesti jelas mengenai sensitiviti umat Islam di negara ini,'' katanya.

Jamil Khir berkata, Nie Ching patut bersedia dengan pakaian menutup aurat kerana program yang beliau akan terlibat itu berkaitan sambutan tahun baru untuk umat Islam.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: