1 Januari 2011

Tindakan melangkaui politik

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching melakukan senamrobik bersama jemaah masjid termasuk jemaah lelaki sempena Karnival Maal Hijrah di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong baru-baru ini adalah isu keselamatan negara.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, ia satu bentuk provokasi menimbulkan reaksi negatif terhadap Nie Ching, parti yang diwakilinya serta umat Islam yang menganjurkan acara tersebut secara sedar.

"Tindakan tersebut walaupun pastinya dilakukan dengan kerelaan jawatankuasa dan jemaah masjid namun ia merupakan tindakan yang melangkaui politik.

"Isu ini melibatkan keselamatan negara yang mesti ditangani segera mengikut undang-undang yang tegas dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk senamrobik DAP cabar keselamatan negara dalam blognya http://kuda-kepang.blogspot.com/ hari ini.

Kata Ruhanie, tulisan ini tidak mencerminkan ekstremisme Islam namun sebaliknya mencerminkan kebimbangan terhadap tindak balas negatif yang boleh tercetus akibat tindakan tersebut.

Tambah beliau, ini jika wujud segelintir umat Islam yang hilang sabar dan terlalu marah terhadap perbuatan yang mengetepikan prinsip-prinsip asas sensitiviti keagamaan.

"Pihak berkuasa perlu segera menjadikan tindakan seperti ini satu agenda keselamatan dan bertindak membanteras perbuatan tersebut daripada berulang," ujarnya.

Menurutnya, tidak ada gunanya peristiwa tersebut dijadikan polemik kepartian kerana isu keselamatan negara di sesebuah negara majmuk seperti Malaysia mesti dibanteras menerusi ketegasan undang-undang.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: