1 Januari 2011

Nie Ching cuba mencabar kesabaran umat Islam - Mat Yasir

UM - 31/12/10

SHAH ALAM 30 Dis. - Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS) menyifatkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching cuba mencabar kesabaran umat Islam apabila sekali lagi tidak menghormati adab ketika memasuki kawasan masjid.

Pengerusinya, Datuk Mat Yasir Ikhsan (gambar) berkata, tindakan Nie Ching daripada DAP itu sebenarnya tidak harus diulangi kerana sebelum ini Ahli Parlimen berkenaan pernah diberikan amaran dan peringatan agar menjaga etika serta adab memasuki masjid dan surau.

Katanya, tindakan wakil rakyat itu memakai pakaian tidak sopan ketika melakukan senamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong adalah jelas tidak menghormati sensitiviti serta rumah ibadat uma Islam itu.

"Kita berpendapat bahawa ahli Parlimen ini begitu berani mencabar sensitiviti umat Islam dengan berpakaian sedemikian ketika memasuki pekarangan masjid.

"Sepatutnya beliau sudah faham akan perkara ini kerana pernah diberikan peringatan apabila berpakaian tidak sopan ketika memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ogos lalu.

"Sebagai seorang wakil rakyat di Parlimen Serdang, Nie Ching harus faham bahawa beliau bukan hanya mewakili bukan Islam, tetapi juga orang Islam di kawasannya. Beliau harus tahu menjaga sensitiviti umat Islam dan adab berada di kawasan masjid dan surau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nie Ching didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut sempena program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Pada masa yang sama, Mat Yasir tidak menolak kemungkinan tindakan Nie Ching itu mungkin mempunyai agenda tertentu yang mahu menarik sokongan orang Melayu dan umat Islam di kawasan tersebut dengan menggunakan tempat ibadat berkenaan sebagai antara strategi politik mereka.

Malah katanya, strategi sedemikian juga mungkin dilakukan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah dalaman yang dihadapi oleh pakatan pembangkang termasuk pentadbiran negeri ini yang dilihat tidak mempunyai hala tuju.

"Maka kita selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat mengharapkan seluruh orang Melayu termasuk mereka yang berada di dalam UMNO, Pas dan PKR supaya melihat tindakan Nie Ching ini dan bermuhasabah diri," katanya.

"Apakah kita (orang Melayu) yang beragama Islam ini mahu membiarkan pelanggaran terhadap sensitiviti kita dan agama kita berleluasa. Soal ahli Parlimen ini tahu atau tidak akan adab bukan isunya kerana beliau telah diberikan peringatan dan amaran sebelum ini.

"Nampaknya, tindakan yang dilakukan oleh Nie Ching seolah-olah tidak ada lagi sikap toleransi apatah lagi menghormati adab dan agama kita," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: