1 Januari 2011

Tindakan saman Dr. Mahathir perbuatan bodoh

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat komen berkaitan kegiatan liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, hanya bertujuan 'menggertak' bekas Perdana Menteri berkenaan.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Anwar sebenarnya tersilap memilih orang untuk disaman kerana Dr. Mahathir yang telah berjaya memimpin Malaysia selama 22 tahun, bukan boleh digertak.

''Kalau Dr. Mahathir boleh digertak, Malaysia sudah pasti tidak maju seperti hari ini dan kepada Anwar bolehlah dia meneruskan tindakan saman ini yang merupakan satu perbuatan yang bodoh.

''Tindakan saman ini akan membolehkan lebih banyak pembohongan Anwar dapat didedahkan di dalam mahkamah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Anwar menghantar notis tuntutan pada Khamis lalu meminta Dr. Mahathir dan Utusan Malaysia menarik balik komen-komen yang didakwanya bersifat fitnah susulan pendedahan WikiLeaks berkaitan kegiatan liwatnya dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari jika tidak mahu disaman.

Laporan Utusan Malaysia memetik Dr. Mahathir sebagai berkata, beliau yakin Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengetahui mengenai pembabitan Anwar dalam aktiviti liwat itu tetapi ada parti politik yang buat tidak tahu.

WikiLeaks sebelum ini mendedahkan bahawa agensi perisikan Singapura mengesahkan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Zahid menggesa Anwar supaya meminta penjelasan daripada peguam bela kesayangannya, Karpal Singh mengenai siapakah sumber yang memberitahu pihak Singapura mengenai kegiatan liwat itu.

''Semua orang tahu hubungan akrab antara DAP dan PAP yang memerintah Singapura. Pada 1997, Pengerusi DAP ini telah menyatakan beliau tahu perbuatan liwat berkenaan dan saya tidak menolak ada pemimpin parti ini yang membocorkan perkara berkenaan kepada rakan mereka di republik itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kehairanan kerana Karpal yang kononnya dianggap sangat berprinsip sanggup menjadi peguam bela Anwar dalam kes liwatnya.

''Saya yakin ini dilakukan kerana DAP percaya mereka boleh memperkudakan Anwar bagi mencapai cita-cita politik parti berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Zahid turut mendesak pemimpin Pas supaya membaca kembali hansard (penyata rasmi) Dewan Rakyat pada 1997 yang mencatatkan kenyataan Karpal bahawa beliau mempunyai bukti dalam bentuk dokumen akuan bersumpah beberapa orang yang mendakwa diliwat oleh Anwar yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

''Mereka harus tahu pendirian Karpal yang jelas sekali berbeza sekarang berbanding pada 1997 dan saya harap mereka tidak sama-sama menjadi munafik," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: