19 Januari 2011

Keputusan ADUN BN Khamis ini

UM - 19/1/11

SHAH ALAM 18 Jan. - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di negeri ini akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menentukan pendirian sama ada mereka akan menyertai sidang DUN yang dijadualkan pada 24 Januari ini atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, semua ADUN BN telah menerima notis menghadiri sidang tersebut yang antara lain bagi melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor berkaitan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan dua lagi jawatan pegawai tertinggi negeri.

''Saya dimaklumkan bahawa Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) telah mengeluarkan pengisytiharan memperkenankan sidang itu diadakan.

''Jadi kita akan berbincang dahulu sama ada hadir pada sidang DUN itu atau tidak, kita akan buat keputusan pada 20 Januari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohamad Satim berkata, semua ADUN BN akan bertindak memboikot sidang DUN tersebut kerana menggangap pindaan itu sebenarnya bertujuan mengembalikan kuasa Menteri Besar dan bukannya kuasa sultan dalam membuat pelantikan SUK.

Esok, draf pindaan perlembagaan negeri itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang maklumat adakah semua ADUN akan diberikan peluang meneliti draf tersebut.

Cadangan pindaan undang-undang tubuh negeri dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang didakwa tidak dibuat melalui persetujuan dan pengetahuannya.

Meskipun mengakui pelantikan SUK itu adalah sah dan diperkenankan oleh Sultan Selangor, kerajaan negeri masih berkeras mahu mengadakan sidang DUN bagi melakukan pindaan perlembagaan negeri.

Menteri Besar juga menangguhkan majlis angkat sumpah simpan rahsia bagi Mohammed Khusrin hingga menyebabkan SUK itu tidak dapat memenuhi haknya di sisi undang-undang untuk menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Pindaan itu antara lainnya dikatakan bagi mengembalikan semula kuasa sultan dan menteri besar dalam membuat pelantikan tiga pegawai eksekutif tertinggi negeri iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Isu pertikaian pelantikan SUK mula timbul apabila sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar pada 27 Disember lalu memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK berkuat kuasa 1 Januari lalu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: