UM - 19/1/11
SETAKAT petang semalam, sejumlah enam set borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor telah terjual.
Namun setiap satu set berharga RM20 itu tidak bermakna apa-apa kerana berdasarkan pengalaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia satu kebiasaan sahaja.
"Dan biasanya ia tidak menggambarkan bilangan calon yang bertanding," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagi Abd. Aziz, DUN Tenang saat ini menjelang hari penamaan calon Sabtu (22 Januari ini) nampak tidak 'bergelora'. Meskipun timbul cakap-cakap parti-parti yang bakal bertanding telah mula berkempen namun SPR sendiri tidak mendapat laporan rasmi mengenainya.
"Ya, setakat ini DUN Tenang agak tenang, tapi semakin dekat (hari penamaan calon), semakin rancak pula persediaan semua yang terlibat termasuk dari SPR sendiri," katanya.
Mengulas dakwaan Pengarah Operasi Pas bagi pilihan raya kecil N.05 Tenang, Dzulkefly Ahmad yang menyifatkan tindakan SPR memindahkan tiga pusat mengundi ke tempat lain sebagai tidak profesional termasuk kononnya SPR memihak kepada Barisan Nasional (BN), Abd. Aziz memberitahu:
"Ketiga-tiga pusat itu sebelum ini berada di dalam DUN Bekok dan kini kita kembalikan ke DUN Tenang.
"SPR tidak ada motif politik dalam perkara ini, saya dimaklumkan kebanyakan pengundi terbabit tinggal di seberang jalan dan dengan pemindahan ini maka akan memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi.
"Kebiasaannya, setelah proses ini dibuat ia mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi. SPR bukannya mahu menukar fikiran pengundi untuk memilih parti tertentu," katanya.
Dzulkefly mendakwa, kesemua pusat mengundi berkenaan iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Labis, Bandar Labis Timur dan SJK Tamil Labis adalah kawasan pengundi Cina yang mengundi Pas pada pilihan raya umum 2008. Pas, dakwanya, meraih kemenangan di kesemua peti undi tersebut.
Pengundi yang sebelum ini mengundi di pusat saluran SJKC Bandar Labis Tengah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin Jalan Kampung Tenang, pengundi di UPU Bandar Labis yang sebelum ini membuang undi di SMK Sri Labis dipindahkan ke Dewan Bola Keranjang JKKK Labis Jalan Segamat manakala pengundi UPU Bandar Labis Timur yang sebelum ini mengundi di SJK Tamil Labis pula dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.
Bagi Abd. Aziz, pemindahan itu tidak akan mendatangkan masalah kepada pengundi, asalkan mereka membuat semakan di mana mereka akan membuang undi.
"Jangan tunggu sehingga hari pengundian 30 Januari nanti, sekaranglah mereka membuat semakan menerusi SMS atau dengan bantuan parti-parti politik," katanya.
DUN Tenang, hanyalah separuh daripada bandar Labis dan keseluruhan pekan kecil ini dipanggil Tenang. Jaraknya lebih kurang 10 kilometer di antara Tenang dan Labis. Bandar paling hampir adalah Segamat, kira-kira sejauh 18km ke Tenang dan 28km ke Labis.
Pengundi Melayu di sini kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pertanian, misalnya kelapa sawit atau getah. Penduduk Cina pula rata-ratanya pekebun atau peniaga, dengan keadaan ekonomi yang agak baik.
Terdapat tiga kawasan Felda di Tenang, iaitu Felda Tenang, Cehmpal Barat dan Chemplak - kesemua ini adalah kawasan kubu BN
Di Felda Tenang yang terdiri daripada 98.5% Melayu, sokongan BN masih teguh. Pada PRU 2008, Pas hanya meraih sokongan 20.4% undi dan DAP cuma memperoleh 10.2% undi. Malah di kawasan Cehmpal Barat dan Chemplak, Pas memperoleh 18.6% dan 18.7% undi masing-masing.
Seandainya dilihat pada kawasan yang terdiri daripada lebih 90% Melayu seperti Kampung Rendong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Bharu, undi yang diperoleh Pas hanya berada antara 18% dengan 32%.
Apa yang menarik, komuniti India memperlihatkan dua pola pengundian yang berbeza dalam PRU 2008. BN memperoleh 67.9% undi di Ladang Bukit Dato yang terdiri daripada 46.6% pengundi India. Tetapi di Ladang Labis Utara yang terdiri daripada 71.7% India, kedua-dua pihak memperoleh 50% sokongan.
Namun MIC baru-baru ini meletakkan kepercayaan penuh bahawa sebahagian besar pengundi India akan berpihak kepada parti pemerintah.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan