UM - 19/1/11
KUALA LUMPUR 18 Jan. - Dewan Pemuda Pas Pusat mahu setiap undang-undang serta peraturan khususnya enakmen jenayah syariah yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri wajib dipatuhi oleh semua pihak.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya perkara itu tidak dihiraukan terutama di kalangan pemimpin dikhuatiri peraturan atau undang-undang itu akhirnya dipersendakan oleh rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata, Pemuda Pas juga mahu setiap peraturan yang memberi kebaikan kepada umat Islam seperti pengharaman orang Islam bekerja di premis menjual arak diperluaskan ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
''Alhamdulillah, setakat ini hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang menguatkuasakan peraturan ini. Pemuda Pas meminta ia diperluaskan ke semua PBT kerana jelas ia melindungi umat Islam daripada terjerumus daripada melakukan perbuatan haram.
''Mengenai kepatuhan kepada setiap undang-undang, perkara ini perlu jelas kerana kita tidak mahu wujud percanggahan antara pemimpin. Sekiranya itu yang berlaku, mereka perlu duduk semeja untuk selesaikan setiap isu berbangkit,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat cuba melindungi Exconya, Ronnie Liu apabila menyatakan bahawa tiada sebarang arahan menarik balik syarat larangan terhadap orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.
Abdul Khalid juga menjelaskan, sebenarnya arahan tersebut bukan satu bentuk larangan sebaliknya hanya tatacara atau syarat baru yang dihantar MPSJ kepada premis hiburan ketika mahu memperbaharui lesen dan ia tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan.
Nasrudin dalam kenyataannya semalam menyifatkan tindakan Ronnie yang mengarahkan agar larangan ke atas orang Islam untuk bekerja di premis menjual arak ditarik balik sebagai menyinggung perasaan umat Islam.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan