20 Januari 2011

Speaker bertindak melebihi kuasa

UM - 20/1/11

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menjelaskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kerusi sesebuah DUN itu kosong atau sebaliknya.

Berdasarkan kes mahkamah Ahli DUN (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan dua yang lain lawan bekas Speaker DUN Perak, V. Sivakumar, katanya, kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi itu terletak pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru beliau menegaskan, tindakan Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang sebenarnya adalah cubaan untuk membawa kes Kota Siputeh, Kedah untuk diguna pakai dalam hal di DUN Pelabuhan Klang.

“Itu adalah tidak tepat kerana kes DUN Kota Siputeh hanya tertakluk kepada fakta-fakta dalam kes itu sahaja dan tidak terpakai secara universal.

“Apapun, kes Kota Siputeh masih dalam rayuan dan mungkin Mahkamah Rayuan atau mahkamah yang lebih tinggi daripada itu tidak bersetuju dan mungkin juga akan menterbalikkan keputusan itu,” katanya seperti dipetik daripada portal http://www.umno-online.com hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini yang mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berkuat kuasa 16 Januari lalu.

Menurut Chang Kim, kekosongan itu ekoran kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri persidangan dewan selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Hafarizam menambah, dalam hal itu, Speaker DUN Selangor hanya bertanggungjawab untuk memaklumkan kekosongan itu secara bersurat atau sebab-sebab yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: