| |
| NAJIB Tun Razak mendapat sambutan hangat daripada penduduk pelbagai kaum pada Majlis Pelancaran Logo Kepolisan Masyarakat Selangor di Taman Puchong Utama, malam tadi. |
Menurut Perdana Menteri, semangat 1Malaysia masih hidup dan membara di kalangan rakyat walau penggunaan simbolnya telah mendapat tentangan pihak terbabit.
''Walaupun Selangor (kerajaan PKR) kata simbol 1Malaysia tidak boleh dinaikkan (digunakan), ia tidak jadi halangan.
''Yang penting bukan simbol tetapi semangat itu tetap tersemat dan membara di hati rakyat. Mereka cuba halang tetapi rakyat tak hiraukan dan menerimanya dengan baik.
''Gagasan 1Malaysia cukup kuat dan kita memastikan semua rakyat, tidak mengira kaum, bersama mengecap kejayaan. Apabila kita berfikir atas semangat 1Malaysia, kita akan bersama mampu untuk menempuh apa jua cabaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Persatuan Kepolisan Masyarakat Selangor di Puchong, dekat sini malam ini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Kerajaan PKR Selangor baru-baru ini melarang penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan dan kain rentang seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor kerana mendakwa logo itu mempunyai unsur politik.
Mengulas lanjut, Najib berkata, dalam memastikan Malaysia mampu mencapai negara maju, ia akan lebih berjaya jika ada kerjasama antara kaum yang bersandarkan semangat 1Malaysia.
''Sebagai sebuah negara, kita bercita-cita untuk terus meningkatkan kualiti hidup dari segi ekonomi, pendapatan atau peluang perniagaan.
''Kita juga inginkan negara, masyarakat dan kawasan kediaman yang aman, harmoni serta bebas daripada jenayah," ujarnya.
Mengenai usaha memerangi jenayah, katanya, kerajaan telah merangkumkan elemen itu dalam satu daripada enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Tambah Najib, untuk tahun pertama pelaksanaan inisiatif berkenaan, usaha memerangi jenayah telah mencapai kejayaan yang di luar jangkaan dengan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu lima peratus.
''Jenayah jalanan pula dapat dikurangkan sebanyak 35 peratus daripada sasaran asal iaitu 20 peratus. Untuk menjayakan usaha tersebut, kita akan menambah sejumlah 14,000 lagi anggota polis.
''Di Selangor sendiri, kadar jenayah dapat kita kurangkan sebanyak 10 peratus dengan jenayah jalanan menurun 35 peratus. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini.
''Namun, usaha ini tidak akan berjaya jika masyarakat tidak bersama-sama dengan polis dan kerajaan. Memerangi jenayah adalah tanggungjawab kita bersama," tegas beliau.
Najib memberitahu, usaha memerangi jenayah adalah melangkaui sempadan politik dan ia memerlukan sokongan semua peringkat masyarakat.
Beliau sebelum itu mengumumkan Balai Polis Puchong Jaya, Puchong sebagai pemenang Liga Balai bagi kategori A atas keberkesanan dalam memerangi jenayah.
/hwa: utusan.com.my | mm - 6/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan