JASIN 5 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau terpaksa mengingatkan pakatan pembangkang supaya tidak melakukan provokasi keterlaluan untuk menang pilihan raya kerana ia melibatkan soal masa depan negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau juga mahu rakyat memikirkan semasak-masaknya apakah betul cara pembangkang mengaitkan pergolakan politik di Tunisia, Mesir dan Libya dengan suasana politik di Malaysia.
Sedangkan, tegas beliau, rakyat cukup sedar dan maklum dengan suasana negara yang aman damai dengan hidup masyarakat majmuknya yang bersatu padu.
"Kadang-kadang ada hikmahnya sesuatu pilihan raya itu diadakan di mana rakyat sendiri boleh menilai apa perjuangan Barisan Nasional (BN) dan apa perjuangan DAP, Pas dan parti pembangkang yang lain.
"Kita boleh bandingkan apa yang baik," kata beliau ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama petani, penternak dan nelayan di Dewan Datuk Ahmad Ithnin di Merlimau Pasir di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin memberi amaran kepada pakatan pembangkang supaya jangan bermain api dengan terus melakukan provokasi terhadap rakyat.
Ingatan itu dikeluarkan berikutan tindakan agresif pembangkang menggunakan isu pergolakan politik di beberapa negara Asia Barat sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau.
Sementara itu, Muhyiddin juga meminta semua pengundi di kawasan DUN Merlimau dan Kerdau keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka mengundi esok.
Katanya, beliau yakin seluruh pengundi di kedua-dua kerusi itu telah mendapat penjelasan dan maklumat penting bagi membantu mereka membuat keputusan tepat memilih calon pilihan.
"Di Kerdau dan Merlimau umumnya, masyarakat sudah faham dan mula yakin pada kemampuan parti Barisan Nasional (BN) untuk laksanakan amanah dan tanggungjawab negara," katanya.
Sejumlah 10,679 pengundi berdaftar di Merlimau akan membuang undi esok manakala di Kerdau melibatkan 8,999 pengundi.
Pilihan raya kecil di kedua-dua kerusi itu melibatkan pertembungan tradisi BN dan Pas.
/hwa: utusan.com.my | mm - 6/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan