28 Mac 2011

Berebut kerusi bukti pembangkang gila kuasa

SAMARAHAN 27 Mac - Pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri kali ini yang saling bertindih antara parti pembangkang membuktikan mereka tidak sehaluan dan tujuan utama setiap parti adalah untuk berkuasa.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berikutan itu parti pembangkang bergaduh sesama sendiri berebut kerusi kerana gila kuasa dan bukannya mahu membela nasib rakyat.

"Keadaan ini berbeza dengan semangat yang ditunjukkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lebih sepakat dalam soal pembahagian kerusi," katanya ketika menghadiri Karnival Belia 1Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Karim Rahman mengulas konflik yang melanda pihak pembangkang apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan DAP yang gagal mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, kesepakatan merupakan kunci utama kejayaan BN mentadbir negeri dengan cemerlang, sekali gus mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Oleh itu katanya, usaha pembangkang untuk menawan negeri ini hanya sia-sia kerana selain tidak sehaluan dan kerjasama yang rapuh, ahlinya sendiri tidak lagi yakin dengan perjuangan parti.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Tiada ulasan: