28 Mac 2011

Tumpu dua pendekatan baru hadapi PRU-13

BACHOK 27 Mac - UMNO Kelantan akan menggunakan dua pendekatan baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu memperkasakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan memberi tumpuan kepada masyarakat bukan Melayu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (gambar) berkata, pendekatan itu selaras dengan model baru politik yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi tumpuan khusus dalam bidang tersebut.

"Sokongan kaum lain terutama Cina dan Siam di negeri ini amat penting kerana mereka boleh jadi 'penentu' kemenangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan," katanya ketika merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Bachok, di sini malam tadi.

Lebih 400 ahli UMNO dari DUN Tawang, Perupuk dan Jelawat menyertai mesyuarat berkenaan yang diadakan di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, pada masa sama perpaduan di kalangan jentera UMNO perlu dimantapkan lagi iaitu dengan mengetepikan perselisihan yang boleh membawa keretakan.

"Di bawah dasar baru yang diperkenalkan oleh parti sekarang, sebarang perancangan mesti diputuskan dari akar umbi, bukan daripada pihak atasan sebagaimana menjadi amalan sebelum ini.

"Ia bertujuan mencapai objektif merakyatkan kerajaan dalam apa juga bentuk transformasi yang dilaksanakan supaya UMNO Kelantan sentiasa di hati rakyat," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Tiada ulasan: