PULAU PINANG 9 Mac - Seramai 47 waris kesal dengan sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak sensitif dengan perasaan mereka apabila menerima permohonan rasmi daripada pemaju untuk menggali semula jirat Cina di Batu Lancang di sini.
Menurut mereka, kerajaan negeri khususnya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sepatutnya boleh menangguhkan permohonan tersebut kerana mendakwa kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Seorang waris, Yeoh Derrick Teoh, 65, berkata, MPPP meluluskan permit menggali semula jirat itu kepada pemaju, Jiran Bina Sdn. Bhd. mengikut peruntukan di bawah Seksyen 97(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"Kami cuba mengatur pertemuan dengan pemimpin kerajaan negeri bagi membincangkan isu pemindahan tanah jirat yang mempunyai nilai sejarah ini.
"Namun, permohonan kami tidak mendapat layanan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dia juga cuba membawa masuk wartawan dan jurugambar untuk menunjukkan jirat milik anggota keluarganya namun dihalang oleh beberapa lelaki dipercayai penjaga di situ.
Sebanyak 56 tapak jirat di situ akan dikorek semula dan dipindahkan bagi membolehkan projek pembangunan bernilai RM300 juta dilaksanakan.
Projek merangkumi 91 buah rumah teres, 299 apartmen dan 234 unit kos sederhana rendah itu dijangka dimulakan tahun depan.
Antara orang terkenal yang disemadikan di situ ialah pengasas Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Tan Hup Chui dan dermawan terkenal, Lim Ko Seng.
Menurut Derrick, dia kesal dan kecewa dengan langkah MPPP membenarkan pemaju membangunkan kawasan jirat itu di luar pengetahuan waris.
"Hampir lima generasi keluarga kami disemadikan di tanah jirat ini.
"Justeru, kami mahu kubur nenek moyang kami dikekalkan di sini," katanya.
Dia memberitahu, mereka pernah berjumpa Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow pada 24 Februari lalu bagi berbincang mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, jelasnya, pemimpin DAP tersebut seolah-olah mahu lepas tangan dengan memberi alasan perkara berkenaan berlaku ketika ketiadaannya.
/hwa: www.utusan.com.my | um - 10/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan