10 Mac 2011

Pas Kelantan sangkal jual tanah Ladang Rakyat

KOTA BHARU 9 Mac - Kerajaan Pas Kelantan mendakwa tanah Ladang Rakyat seluas 1,185.2 hektar di Mukim Kandek, Dabong yang asalnya milik Ladang Ternakan Maju Sdn. Bhd. (LTMSB) tidak dijual kepada syarikat bukan bumiputera sepertimana yang didedahkan oleh laman blog sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya nilai jualan yang didakwa berjumlah RM12.75 juta itu sebenarnya adalah jumlah transaksi saham yang dibeli oleh anak-anak syarikat dalam kumpulan yang sama.

Beliau berkata, disebabkan penjualan saham itulah maka jumlah saham yang dimiliki oleh syarikat bumiputera dalam kumpulan itu menjadi lebih kecil.

Dakwanya lagi, tanah-tanah itu kini diuruskan oleh sebuah syarikat lain dikenali sebagai Fokus Bonanza iaitu syarikat berasingan namun ia tetap dianggotai oleh Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai dari LTMSB.

"Sebab itulah apabila nilai transaksi (beli saham RM12.75 juta) itu berlaku dengan sendirinya nilai bumiputera tidak bertambah jadi nilainya kecillah.

"Hasil daripada transaksi yang dibenarkan supaya dia boleh membuka saham kepada kalangan syarikat kumpulan jadi tidak timbul ia dijual kepada bukan bumiputera cuma pemilikan saham syarikat kumpulan ini sahaja.

"Asalnya syarikat Ladang Ternakan Maju Sdn. Bhd. di Dabong yang cuba mengembangkan syarikat dan mahu menjadi syarikat baru dengan Ahli Lembaga Pengarah yang sama tiada orang baru cuma syarikat baru," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mencabar kerajaan Pas Kelantan mendedahkan mengenai urusan penjualan tanah Ladang Rakyat di Kandek, Dabong pada tahun 2009 kepada sebuah syarikat bukan bumiputera yang dianggarkan bernilai RM12 juta.

Cabaran tersebut dibuat ekoran laporan sebuah blog, kelatekito.net baru-baru ini mendedahkan wujud perjanjian 'ali baba' dalam pemberian tanah seluas 1,185.2 hektar itu kepada sebuah syarikat milik bumiputera pada tahun 2006 untuk fasa kedua pembangunan Ladang Rakyat di Mukim Kandek, Dabong.

Perjanjian pemberian tanah tersebut dikatakan dibuat pada 23 Mac 2006 dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili Kerajaan Pas Kelantan manakala pasangan pemilik itu mewakili sebuah syarikat perladangan dan ternakan.

Dakwa blog tersebut, hasil keuntungan ladang itu dikatakan mampu memberi manfaat kepada hampir 500 pesertanya yang menerima dividen sebanyak RM200 sehingga RM300 selepas beberapa bulan perjanjian itu dimeterai.

Bagaimanapun kira-kira tiga tahun selepas itu, syarikat tersebut dikatakan telah diambil oleh sebuah syarikat bukan bumiputera yang membabitkan penjualan saham sebanyak RM12.75 juta.

Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah berkata, Kerajaan Pas Kelantan bersedia mengambil sebarang tindakan termasuk undang-undang sekiranya dakwaan tersebut masih diteruskan.

"Saya kesallah atas kenyataan yang tidak berhati-hati yang sepatutnya kita mendapat maklumat sebenar. Kita sedang mengkaji apa-apa tindakan terhadap perkara tidak bertanggungjawab seperti ini," tegasnya.

/hwa: www.utusan.com.my | um - 10/3/11

Tiada ulasan: