2 Mac 2011

Kerajaan Pas akui kempen KB bersih tidak capai sasaran

KOTA BHARU 2 Mac – Kerajaan Pas Kelantan mengakui Kempen Kota Bharu Bersih 2010 yang dilancarkan tahun lalu tidak mencapai sasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, malah agak mustahil untuk menjadikan bandar ini bersih sepenuhnya kerana pertambahan penduduk turut menyebabkan jumlah sampah yang dihasilkan semakin bertambah.

Bagaimanapun, kata beliau, langkah-langkah untuk mencapai sasaran itu telah diteruskan ke tahun ini dengan penganjuran pelbagai jenis program kebersihan dan tambahan aset Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

"Rakyat bertambah, sampah bertambah, kekotoran bertambah. Bagi saya amat mustahil untuk bebas kekotoran," katanya menjawab soalan tambahan Mohd. Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mohd. Adhan dalam soalan tambahannya memohon penjelasan kemanakah semua kutipan hasil yang dipungut oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sejak tiga tahun lalu telah dibelanjakan memandangkan banyak sampah sarap masih boleh dilihat di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.

Mohd. Adhan berkata, dalam tempoh tiga tahun bermula 2008 hingga 2010, MPKB-BRI telah memperolehi kutipan sebanyak RM54.21 juta dan turut menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Menjawab soalan itu, Takiyuddin berkata, kebanyakan hasil kutipan yang diterima dibelanjakan untuk menambah aset MPKB-BRI sendiri yang boleh digunakan untuk kerja-kerja pembersihan.

/hwa: utusan.com.my | um - 2/3/11

Tiada ulasan: