2 Mac 2011

Pas pecahkan undi orang Melayu

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Kehadiran Pas di Selangor hanya memecah-belahkan orang Melayu di negeri itu, malah lebih buruk lagi menyebabkan kaum itu kehilangan kuasa majoriti politik mereka.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana peranan Pas di Selangor hanya sekadar memecahkan undi orang Melayu dalam pilihan raya dan sebagai pemudah cara untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk berkuasa.

"Manfaat daripada kehadiran Pas di Selangor sebenarnya dinikmati oleh PKR dan DAP dan inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai.

"Lihatlah sendiri apa berlaku di negeri ini, Teresa Kok dan Ronnie Liu lebih berkuasa berbanding Datuk Hassan Ali yang juga ahli Pas," katanya berucap sempena Malam Nostalgia Kepimpinan Melayu Hulu Kelang, di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presidennya, Prof Dr. Asyraf Wajidi Dasuki dan Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abdullah Mansor bersama kira-kira 200 ahlinya.

Menurut Ibrahim, kemerosotan politik Melayu di Selangor hanya boleh diatasi sekiranya orang Melayu di negeri itu tanpa mengira fahaman politik kembali bersatu mempertahankan hak-hak mereka yang semakin hebat dicabar sejak kebelakangan ini.

/hwa: utusan.com.my | um - 2/3/11

Tiada ulasan: