KOTA BHARU 4 Mac – Pas akan terus menggunakan isu agama dalam kempen pilihan raya, kerana perbuatan itu merupakan sebahagian kerja dakwah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, semua pihak terutamanya cendekiawan agama sepatutnya sedar bahawa segala perkara yang dilakukan di atas muka bumi ini perlu bersandar kepada al-Quran dan hadis, termasuk ketika kempen dan mengundi pada pilihan raya.
Justeru, katanya, jika seseorang mufti itu menolak untuk mengaitkan amalan mengundi sewaktu pilihan raya dengan hukum syurga neraka, mereka hanya layak mengeluarkan fatwa di negara komunis sahaja.
“Kami tidak menghukum tapi berdakwah, kami ini pendakwah dan bukan hakim yang menghukum, Nabi Muhammad SAW berdakwah, jadi kami akan terus dengan pendekatan berdakwah.
“Biarlah orang nak kata apa pun. Nabi Muhammad pun orang kata, kerja dakwah ini kerja Nabi Muhammad dan daripada segi demokrasi inilah salurannya.
“Kempen nak jadi Presiden atau nak jadi wakil rakyat, semuanya guna kaedah kempen. Kempen diambil dari ayat bahasa Inggeris dan dalam bahasa Arabnya dakwah, dalam Melayu dipanggil ajak.
“Bila mufti kata kempen orang tidak boleh guna hukum, ertinya dia sudah berlainan daripada Nabi Muhammad. Macam mana orang nak undi A atau B tanpa kita dakwah? Hatta sembahyang, kita nak ajak orang sembahyang serupa dengan yang Allah nak, macam mana kalau kita tidak guna hukum dalam al-Quran dan hadis?” soalnya.
/hwa: utusan.com.my | um - 5/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan