5 Mac 2011

Tindakan menyamar bukti pembangkang tiada kekuatan

KUALA KRAU 4 Mac - Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan pihak yang menyamar sebagai ahli pergerakan itu dan berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sebagai kumpulan yang tidak mempunyai kekuatan untuk meraih undi.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya amat kecewa dengan tindakan pembangkang yang sanggup menyamar dan menghasut penduduk agar tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sebagai tanda protes.

"Saya kecewa dengan tindakan pembangkang ini terutama jentera wanita mereka dalam meraih simpati penduduk untuk menolak calon BN.

"Tindakan sedemikian amat keterlaluan dan terdesak. Justeru, saya mohon mereka hentikan kerja seperti itu kerana ia amat memalukan," katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas melancarkan gelombang merah Jentera Jalinan Rakyat BN di padang awam Kampung Badok di sini hari ini.

Hadir sama menyertai gelombang merah itu ialah anakanda Sultan Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pahang, Datuk Rosni Zahari.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menggesa pengundi agar berhati-hati apabila menerima kunjungan daripada mereka yang mahu merayu undi.

"Saya minta kepada pengundi berhati-hati kerana semua yang menyamar dengan memakai tudung merah itu tidak mempunyai kekuatan dan tidak mempunyai sebarang agenda demi memperjuangkan rakyat.

"Bagaimanapun kami Wanita UMNO mempunyai keikhlasan perjuangan dalam membela nasib rakyat," ujarnya.

Tambahnya, Wanita UMNO dalam berkempen hanya menceritakan bagaimana dan apa yang dilakukan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

"Kita akan ceritakan apa tindakan dan bagaimana cara yang dilakukan kerajaan dalam menentukan pembangunan rakyat," jelasnya.

/hwa: utusan.com.my | um - 5/3/11

Tiada ulasan: